Rabu, 6 Ogos 2008
Ni embun nak kongsi sedikit berkenaan menu kegemaran sebilangan besar masyarakat di Sarawak setiap kali tiba bulan Ramadhan iaitu Bubur Pedas. Biasanya kalau kita cakap pasal bubur ianya begitu sinonim dengan beras atau nasi.
Namun di Sarawak,kreativiti turun temurun ini tidak menghadkan penggunaan nasi semata untuk dijadikan bubur.Pada dasarnya bahan utama untuk menyediakan bubur pedas ini adalah beras yang ditumbuk menjadi serbuk dan diadun dengan rempah-rempah pilihan.
Yang menariknya walaupun ada dijual pada hari biasa di sesuatu tempat namun permintaan dan penggunaannya meningkat menjelang Ramadhan dan boleh dikatakan seolah menjadi menu wajib bagi sebilangan besar orang Melayu khususnya dan kaum lain amnya yang beragama Islam. Kawan embun yang non Muslim turut menggemari juadah ini setelah diperkenalkan oleh embun.
Bubur pedas adalah nama juadah yang sudah siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan dan dinikmati ketika berbuka mahupun bersahur. Untuk menyediakan bubur pedas ini perlu ada bumbu bubur pedas yang boleh didapati di gerai menjual hasil pribumi Sarawak, di kedai runcit orang melayu, ditempah daripada pengusaha bumbu bubur pedas atau boleh dibuat sendiri bagi yang menggemari hasil air tangan sendiri (boleh tentukan citarasa sendiri).
Minta maaf lah kepada mereka yang berada di semenanjung dan Sabah kerana tidak terdapatnya bumbu bubur pedas ini di pasaran anda kecuali ada orang Sarawak yang merantau atau yang bermastautin yang ada menjual bumbu bubur pedas ini di tempat anda. Atau, sekiranya anda kelapangan sudi-sudikanlah diri anda berkunjung ke negeri bumi kenyalang untuk merasa sendiri keunikan bubur pedas dan makanan tradisional lainnya yang pasti tidak akan mengecewakan anda.
Sebagai pengenalan kepada anda yang baru mendengar perihal bubur pedas, embun muatkan disini gambar dan resipi bubur pedas. Insyallah dilain kesempatan, embun akan usahakan pula resipi untuk menyediakan bumbunya pula.
(gambar dari ct juliez@myresipi.com / rahman bestari)
Bubur Pedas
Bahan-bahannya :-
1 paket bumbu bubur pedas (atau mengikut banyaknya bahan)
100 gm samada udang,ayam atau daging
* kacang panjang,jagung muda,paku midin(lemiding),tauhu kering(fucuk),
cendawan cina,pucuk manis,daun kelo dsbgnya
5 tangkai pucuk singkel(pucuk buas) - dihiris halus
5 tangkai daun kunyit - dihiris halus
5 biji cili kering(jika suka pedas)
2 biji bawang merah - ditumbuk halus
2 biji bawang putih - ditumbuk halus
2-3 sudu besar minyak masak untuk menumis
3 cawan pati santan
garam dan serbuk perasa
* mana-mana bahan ini boleh digunakan mengikut selera dan citarasa
masing-masing.
- sesuai dijadikan pencicah untuk dimakan bersama masak lemak nangka muda,
umbut,sayur keladi dll.
- juga sesuai dimakan begitu sahaja.
- bahan lain yang boleh digunakan ialah seperti sotong,rebung,umbut,nenas,
carrot,ubi kentang,bunga kantan dll bahan yang sesuai.
Cara Menyediakannya :-
1. Tumiskan bawang, apabila agak garing atau naik bau, masukkan samada udang,
ayam atau daging dan masak sehingga empuk.
2. Masukkan bumbu yang sudah dibancuh dengan air.
3. Biarkan mereneh dan masukkan pula kesemua bahan sayur dan bahan hiris.
4. Masukkan pati santan dan biarkan mereneh selama lebih kurang 10 minit
sambil dikacau perlahan-lahan.
5. Sesuaikan rasa dan angkat.
Label: dapur orang bujang