Autograf

Rabu, 6 Ogos 2008

Embun terpanggil untuk memaparkan perihal kek sarawak dan kek lapis sarawak. Umum sedia maklum bahawa negeri Sarawak sememangnya terkenal dengan produk kek lapis yang pelbagai corak, beraneka warna dan berlainan rasa.Akan tetapi masyarakat di luar negeri bumi kenyalang tidak ramai yang mengetahui sebelum kemunculan revolusi baru iaitu pembuatan kek lapis, negeri Sarawak terkenal dengan pembuatan kek biasa yang tidak berlapis.

Kalau ada pun yang berlapis, tidaklah menyamai kek lapis yang ada sekarang yang
bercorak lapis halus dengan motif corak yang pelbagai seperti corak bunga, ketupat, baju (sekadar menyebut beberapa jenis corak). Kalau di Sarawak biasa disebut kek plain sahaja atau penggunaan satu warna sahaja ataupun bercorak lapis paling tidak pun 2 - 3 lapis yang tebal sahaja.

Revolusi baru ini (kek lapis) dilihat sebagai satu hasil kreativiti masyarakat Sarawak yang mampu diketengahkan di peringkat kebangsaan malah lebih jauh lagi di peringkat antarabangsa. Ianya adalah sesuatu yang seharusnya menjadi kebanggaan anak Sarawak kerana tidak ramai yang berkemahiran dalam proses pembuatannya dan dengan hasil pengusahaan kek lapis ini, pengusaha mampu untuk mengubah tahap kehidupan kepada yang lebih baik lagi.
(gambar dari rozzan.blogspot.com)
Rabiah Amit, satu nama besar dalam industri pembuatan kek lapis Sarawak yang berjaya, malahan menarik perhatian masyarakat Malaysia khususnya surirumah tangga dan individu yang berminat perihal kek lapis dengan penerbitan buku berkenaan kek lapis Sarawak.

Tidak terkecuali beberapa nama lain di Sarawak seperti Puan Mariam dengan Mariam Cakes,Azan dengan Azan Bakery,Puan Dianne dengan Dayang Kek Lapis yang beroperasi di Rawang, Selangor,Siti Hajar Ahmat di Kajang,Puan Siti Maryam yang menjalankan perniagaan kek lapis yang meliputi sebahagian besar negeri Selangor sehingga ke negeri Perak, (sekadar menyebut beberapa nama).

Terbukti sudah, kalau tidak mendapat sambutan masakan anak Sarawak yang berada di luar lingkungan kawasan negeri bumi kenyalang ini juga berjaya meraih kejayaan mengusahakan perniagaan kek lapis ini yang dulunya hanya merupakan sajian utama di meja hidangan rumah orang melayu Sarawak pada hari raya aidilfitri. Syabas dan tahniah buat anak-anak Sarawak yang berjaya mengharumkan nama negeri Sarawak dengan hasil produk yang sudah semestinya tidak terdapat di tempat lain. Paling tidak pun, berjaya menangkis tanggapan sebilangan masyarakat luar yang ortodoks tentang kedaifan masyarakat Sarawak yang kononnya masih tinggal di atas pokok!

Lebih membanggakan, apabila ada di kalangan peminat kek lapis di luar negara yang berjaya mengusahakan kek lapis Sarawak dengan kemahiran dan kreativiti yang tinggi. Dan yang paling mengkagumkan ialah saudara Rozzan di Singapura yang memperlihatkan inovasi berkualiti bertaraf pakar dalam pembuatan kek lapis Sarawak. Syabas saudara Rozzan!
(gambar dari rozzan.blogspot.com)
Berbalik kepada kek biasa Sarawak yang merujuk kepada kek yang tidak berlapis merupakan kek asas kepada pembuatan kek lapis Sarawak yang ada sekarang. Sepertimana yang embun nyatakan tadi, produk kek sarawak ini mengalami revolusi dimana masyarakat Sarawak yang berkemahiran dan mempunyai minat yang tinggi memiliki inovasi yang (kalau tidak keterlaluan)pada embun tidak terjangkau oleh fikiran sebelum ini.
Daripada kek biasa yang tidak berlapis kepada kek berlapis yang tinggi mutunya (halus buatannya - merujuk kepada lapis) dan berlainan pula rasanya (merujuk kepada perisa atau flavour). Walau bagaimanapun, kek biasa Sarawak yang tidak berlapis masih tetap menjadi pilihan ramai di Sarawak kerana rasanya yang enak dan sedap.

Sekadar menyebut beberapa nama kek biasa (resipi lama) seperti Kek Pileh Kaseh, Kek Rampai Payong, Kek Sarang Lebah, Kek Sharifah Aini, Kek Lapisan Bumi, Kek Mata Hantu, Kek Sabok Tun Razak, Kek Dewan Parlimen dan banyak lagi yang mengundang 1001 macam rasa pegun terutamanya apabila kita melihat daripada segi bentuk dan warnanya sahaja, belum lagi menikmati keenakkannya kalau dimasukkan ke dalam mulut!

Apa yang istimewanya kek Sarawak ialah penggunaan mentega jenama Golden Churn (16oz) dalam tin yang sudah digunakan oleh masyarakat Sarawak sejak hamnpir 3 dekad yang lalu! Selain itu, 4 elemen utama dalam pembuatan kek Sarawak ialah penggunaan horlick, milo, srikaya dan susu manis yang menjadikan kek Sarawak lebih padat (dalam istilah lain - berisi, tidak terasa seperti kapas)dan lazat, di samping penggunaan bahan lain (pelbagai jenis jem, tepung roti,biskut,tepung aiskrim) dan perisa (peppermint,pandan,keladi)juga buah-buahan (prune,red dates,sultana,kismis).

Itu cuma sebahagian bahan-bahan yang digunakan, belum lagi termasuk cara penyediaan dan langkah memasaknya yang unik. Juga, penggunaan loyang yang sama sekali tidak sama dengan apa yang terdapat di semenanjung. Selain itu, banyak bahan yang digunakan dalam pembuatan kek sarawak tidak ditemui di semenanjung seperti gravy browning, pandan paste dan mentega golden churn 16oz. Apapun kita masih boleh menggunakan kreativiti dengan menggantikan bahan yang seakan sama dan boleh diguna pakai untuk menghasilkan kek yang pastinya tidak akan mengecewakan.

Kesimpulannya, kek sarawak atau kek lapis Sarawak tidak lagi dimonopoli oleh orang Sarawak sahaja lagi kerana ia turut mengalami revolusi yang membuka banyak ruang untuk kita lebih berfikiran jauh ke hadapan dan sudah pastinya tidak terhad kepada golongan wanita sahaja, justeru ramai kaum Adam di luar sana yang mempunyai inovasi yang berkualiti lebih berjaya daripada kaum Hawa dalam pembuatan kek Sarawak ini! Produk yang dihasilkan secara komersial ini seharusnya dipelihara dan dipulihara untuk mengekalkan kualiti dan menjadi sebahagian daripada wadah budaya masyarakat Sarawak khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Untuk itu, embun muatkan disini beberapa gambar kek biasa hasil air tangan embun sendiri sempena aidilfitri 2007 yang lalu.



,

0 Comments:

Post a Comment