Jumaat, 15 Ogos 2008
Ramai juga kawan-kawan yang tanya pasal kek lama di Sarawak yang tidak berlapis. Ada juga embun muatkan dalam Myresipi.com dalam profail rahman bestari. Kalau nak ikutkan memang banyak juga koleksi resipi lama kek sarawak dalam simpanan embun. Ada yang embun beli satu resipi tu dengan harga rm1! Ada yang embun dapatkan daripada kawan-kawan dan daripada simpanan bonda tercinta. Embun sayang sangat koleksi resipi-resipi itu kerana kalau tidak simpan, alamat akan hilang lah bukti kepakaran dan kemahiran anak watan itu nanti.
Namun, dalam pada itu lebih banyak masa embun digunakan untuk membaca, meneliti setiap proses penyediaan kek kukus sebagaimana terdapat di dalam resipi tersebut. Timbul pula tugas baru iaitu mengedit perkataan, bahasa dan nahu yang digunakan agar lebih mudah untuk difahami. Walaubagaimanapun, masih juga berbaki beberapa resipi yang masih belum dapat embun perbetulkan daripada segi bahasanya kerana terdapat banyak percanggahan kenyataan di dalam aspek bahan dan cara penyediaan. Contohnya, kalau dalam bahan-bahan ada dinyatakan bahan A, akan tetapi bila tiba bab cara membuatnya, tiada langsung dinyatakan kewujudan bahan A. Ini agak memeningkan kepala. Apapun, embun selalu berimaginasi dengan menggunakan segala kreativiti untuk mengubah
penggunaan bahan secara logik dan ubahsuai cara penyediaannya. Hasilnya embun dapat satu resipi baru tetapi masih menggunakan tajuk resipi asal.
Seringkali terdengar di telinga dan terbaca di mana-mana blog berasaskan pembuatan kek kukus ni ialah persoalan tentang berapa lama sesuatu kek itu boleh bertahan.
Untuk menjawab persoalan itu, embun kongsikan beberapa tip berikut :
a. lebihkan waktu mengukus dengan mengecilkan api.sebagai contoh sebiji kek mungkin
ada anggaran masa untuk mengukus selama 1 setengah jam, boleh dilanjutkan sehingga dua jam.
b. pastikan kek betul-betul sejuk sebelum dipotong untuk dihidangkan dan dibungkus
menggunakan aluminium foil dan disimpan di dalam peti sejuk. pastikan juga pisau memotong bersih dan kering.
c. selepas mengukus, bolehlah dibakar sekejap di dalam oven selama 10 - 15 minit bergantung keadaan kek. ini adalah untuk mereka yang tidak menggemari moist cake yang agak berminyak dan basah.
d. mutu ketahanan kek pada kebiasaannya bergantung pada bahan yang digunakan untuk membuat kek tersebut. Kek kukus yang berasaskan buah-buahan (kismis, dates, prune, sultana, dsbgnya) biasanya akan tahan lebih lama berbanding kek biasa yang tidak menggunakan buah-buahan.
Embun pun bukannya pakar dalam pembuatan kek ini, tapi melalui pengalaman dan pembelajaran secara tidak langsung apabila membuat kek, maka dapatlah sedikit sebanyak ilmu selain rajin bertanya kepada mereka yang lebih arif. Di atas adalah sekadar beberapa bentuk penelitian yang embun perolehi hasil membuat kek sejak dari bangku sekolah menengah lagi.
KEK SRIKAYA TEBAL
Bahan-bahannya :-
10 biji telur
3 botol kecil pandan paste
1 tin susu manis
1 botol horlick
2 gelas gula halus
2 gelas tepung gandum
16 oz mentega
1 tin srikaya
Cara Membuatnya :-
Mentega dan gula dipukul sampai kembang. Masyukkan kaya, susu, horlick, pandan paste dan tepung gandum. Gaulkan hingga rata. Masukkan telur satu persatu. Gaulkan lagi sehingga rata dan sebati. Kukus adunan sampai masak.
KEK HOLIDAY INN
Bahan-bahannya :-
10 biji telur
16 oz mentega
1 gelas gula halus
1 gelas tepung gandum
2 gelas horlick
1 tin susu manis
1 botol kecil browning
Cara Membuatnya :-
Gula dan mentega dipukul sampai kembang. Masukkan tepung gandum, horlick, susu dan browning. Gaulkan rata dan sebati. Kukus sampai masak.
KEK EVERGREEN
Bahan-bahannya :-
10 biji telur
16 oz mentega
1 ½ gelas gula halus
1 botol kecil horlick
1 ½ gelas tepung gandum
½ tin susu manis
2 sudu makan tepung biskut(cheese cracker)
2 botol kecil pandan paste
Cara Membuatnya :-
LAPISAN BAWAH :- kuning telur dipukul dengan ½ gelas gula. Masukkan ½ tin mentega dan kacau hingga rata dan sebati. Masukkan horlick dan tepung roti, 1 gelas tepung gandum dan pandan paste. Kukus hingga masak.
LAPISAN ATAS :- pukul putih telur dengan 1 gelas gula halus. Pukul baki mentega di tempat lain dengan ½ tin susu sehingga rata dan sebati. Setelah itu masukkan ke dalam adunan putih telur tadi. Gaulkan rata sebelum dimasukkan ½ gelas tepung gandum. Kacau lagi hingga betul-betul sebati. Tuangkan di atas lapisan bawah kek tadi dan kukus sampai masak.
KEK PILEH KASEH
Bahan-bahannya :-
16 oz mentega
10 biji telur
1 tin kecil kaya
1 botol kecil horlick
½ tin susu manis
½ kg lengak/ bijan (digoreng tanpa minyak)
1 sudu teh vanila
2 ½ gelas kacang tanah (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk halus)
1 ½ gelas gula halus
1 gelas tepung gandum
2 gelas tepung biskut marie
6 sudu makan milo
3 sudu teh browning
Cara Membuatnya :-
Pukul mentega dengan gula sampai kembang. Masukkan telur satu persatu. Kacau rata.Susu, kaya, horlick, milo digaul sampai rata dan sebati di tempat lain dan masukkannya ke dalam adunan telur tadi. Masukkan vanila, browning, lengak, kacang, tepung biskut dan tepung gandum. Kacau rata dan sebati. Kukus sehingga masak.
Label: dapur orang bujang