Sabtu, 2 Ogos 2008
Syabas dan tahniah buat MOHD FAIZAL RAHIM yang berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan yang mewakili zon selatan ke pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008. Embun mengenali Faizal ketika sama-sama menyertai ujibakat Pertandingan Bintang Irama Malaysia dan Idola P Ramlee & Saloma di JB, 2007. Kemudian masing-masing terpilih untuk ke peringkat negeri Johor dan berjaya menjadi johan dalam kategori masing-masing. Embun dan Faizal kemudiannya mewakili negeri Johor ke pertandingan yang sama di Shah Alam dan Kulala Lumpur (Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan) tetapi pada tarikh yang berlainan.
Mohd Faizal Rahim, wakil negeri Johor ke pertandingan Idola P Ramlee & Saloma 2007 (Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan), berjaya melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan di Istana Budaya. Dalam pertandingan tersebut Faizal dinobatkan sebagai Johan Idola P Ramlee 2007. Ikuti laporan berikut :
Pertandingan Akhir Idola P Ramlee & Saloma 2007
Pertandingan akhir Idola P. Ramlee dan Saloma yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya baru-baru ini telah mendapat sambutan duluar dugaan.
Ini kerana Panggung yang boleh memuatkan 1,400 orang telah melebihi daripada jumlah kapasiti penonton hingga ada antara mereka terpaksa berdiri dan duduk dikaki-kaki tangga.
Ini mengejutkan pihak penganjur Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan menerusi Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara bahawa sambutan terhadap program yang julung kali diadakan itu menerima ramai peminatnya.
Pihak penganjur sebelum itu telah mengedarkan pas-pas percuma sebelum berlangsungnya pertandingan tersebut. tetapi habis dalam masa tiga hari sahaja.
Menteri berkenaan. Datuk Seri Dr. Rais Yatim gembira melihat perkembangan tersebut berkata, "Ini menunjukkan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma masih mendapat tempat dihati orang ramai".
Beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang. Pihak penganjur telah memberikan nafas baru dalam lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma tanpa menghilangkan keaslian lagu tersebut.
Ini telah menarik 1,002 orang peserta terutama anak-anak muda generasi baru memohon untuk menyertai pertandingan tersebut mermula peringkat negeri hingga ke peringkat akhir.
Pertandingan peringkat akhir terbagi tiga kategori iaitu solo P. Ramlee (5 peserta), Saloma (5 perserta) dan berpadu suara (10 peserta).
Peserta solo P. Ramlee Johan, Mohd Faizal Abdul Rahim dari Johor dengan hadiah wang tunai RM10,000, Piala iringan Menteri KEKKWA, sijil, kedua Ahmad Fuad Zaharullail dari Wilayah Persekutuan menrima RM8,000 dan ketiga Nor Azieman Aziz dari Kuantan, Pahang memperoleh RM6,000 dan hadiah sagu hari RM1,000.
Kategori solo Saloma dimenangi Irsa Sahabuddin dari Wilayah Persekutuan, kedua Nur Idayu Mohd Sopiee dari Kulai, Johor Bharu. Hadiah sama seperti diatas.
Kategori berpadu suara Johan, Mohd Afiq Ahmed dan dan Azeani Awang Ismail dari Kota Kinabalu, Sabah yang membawa pulang wang tunai RM10,000, Piala iringan Menteri KEKKWA dan sijil, kedua Zainal Roslan dan Norazwin Sharifuddin dari Klang, Selangor dan ketiga Mohammad Fadzli Abdul Wahab dan Rosmawati Mat Dali dari Melaka .
Pertandingan tersebut diserikan dengan penampilan antaranya Nasir P. Ramlee, Mimi Loma, Haziq dan Aidi Nuzirin.
Sumber : Utusan Melayu, Isnin 20 Ogos 2007
Selepas meraih kemenangan dalam pertandingan itu, tahun ini Faizal kembali beradu nasib dalam pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008 pula. Semoga Faizal akan mengulangi lagi kejayaannya dalam pertandingan tersebut. Embun mengenali Faizal sebagai seorang yang sederhana, merendah diri, berbudi bahasa dan berbakat selain memiliki kekuatan vokal yang tidak kurang hebat dengan barisan penyanyi lelaki tanahair yang ada sekarang ini!
Embun pun minat juga menyanyi ni malah pernah juga menyertai beberapa pertandingan nyanyian di kampung embun. Terkilan juga embun kerana tidak berpeluang lagi menyertai pertandingan Bintang Klasik Nasional ni kerana sudah melepasi syarat usia. Ada juga teman-teman tanya, " tak masuk bintang klasik ke ?" , jawab embun bukan tak nak masuk tapi KEKKWA tak terima orang tua-tua. Pertandingan tersebut hanya untuk orang-orang muda dan mencungkil bakat-bakat muda ini kemahiran dan kebolehan mereka menyanyikan lagu-lagu lama yang klasik. Ini adalah sebagai usaha memartabatkan lagu-lagu lama supaya akan terus kekal diingati oleh generasi sekarang dan akan datang dan secara tidak langsung memasyurkan semula penyanyi asal sebagai tanda mengenang jasa dan sumbangan mutu suara yang tiada tolok bandingnya.
Syabas dan tahniah juga kepada Mohd Azwan Shahdi Mohd Jalaludin ( Johan Bintang Irama Malaysia 2007 - Kategori Lelaki) dan Sabihah Abdul Wahid ( Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2007 - Kategori Wanita ) kerana masing-masing berjaya melayakkan diri ke peringkat Kebangsaan Bintang Klasik Nasional 2008.
Syabas dan tahniah juga kepada KEKKWA kerana tahun ini merupakan tahun kedua pertandingan tersebut diadakan yang sememangnya akan disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia yang menggemari lagu-lagu lama ini.
Label: hiburan