Autograf

Khamis, 14 Ogos 2008

10hb Ogos yang lalu berlansung dengan jayanya pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008. Embun ni bukan apa, disebabkan minat yang mendalam terhadap lagu-lagu melayu lama ni mendorong embun untuk mengikuti perjalanan dan perkembangan aktiviti yang dijadualkan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Selain itu, untuk mengubat rasa terkilan embun kerana tidak dapat melayakkan diri untuk turut serta di dalam pertandingan seumpama itu disebabkan oleh faktor usia. Makanya, dengan mengabadikan perihal cerita pertandingan serta gambar yang berkaitan di dalam blog embun yang tidak sepertinya ini, menunjukkan embun memberikan sokongan yang padu terhadap usaha-usaha ke arah memartabatkan lagu-lagu lama dan mengenang kembali penyanyi lama (penyanyi asal lagu-lagu yang dipertandingkan)secara tidak langsungnya.

Sokongan daripada segi apapun seharusnya diberikan kepada pihak penganjur iaitu Radio Televisyen Malaysia atas usaha yang tidak pernah jemu mengetengahkan bakat-bakat baru yang berkualiti untuk menjulang kembali nostalgia lagu-lagu lama ini. Kalau sebelum ini, Malaysia menjadi saksi kemenangan Muhaizam Ahmad dan Anis Salwa Alaudin yang sudah pastinya berbakat menyanyi dan pada tahun ini pula menjulang nama Azwan Shahdi dan Sabihah Wahid yang sudah tentunya menambah bilangan penyanyi muda yang berkualiti dalam mempelopori lagu-lagu lama pada zaman sekarang.
gambar dari : utusan online
Masyarakat kita seharusnya peka dengan kehadiran barisan penyanyi muda yang berbakat dan berkualiti ini dan tidak hanya akan menoleh dan memberi sokongan kepada penyanyi yang berwajah menarik, berpenampilan seksi dan sahaja. Berkualiti dalam erti kata boleh menyanyi dan menyampaikan pelbagai genre lagu termasuk lagu-lagu "lama" dengan memuaskan. Mentaliti kita sepatutnya sudah lama berubah demi kejayaan berkekalan dalam industri seni suara tanah air.

Satu fenomena yang embun perhatikan sejak kebelakangan ini ialah dengan munculnya falsafah "jangan tiru penyanyi asal dan nyanyi ikut cara sendiri" sepatutnya tidak timbul. Secara peribadi embun amat tidak menyetujui ide ini malah menolaknya sama sekali. Sememangnya pun setiap daripada mereka yang menyanyi itu ada memiliki cara nyanyi yang tersendiri (tidak akan sama dengan penyanyi lain)dan apabila menyanyikan semula / kembali lagu-lagu penyanyi lain sudah pastinya tidak akan sama dengan penyanyi asal walaupun secara kasarnya nampak sama - tapi tidak serupa. Embun paling tidak suka mendengar lagu yang diubah patah lagu dan lenggoknya. Ini kerana ia sudah hilang keasliannya. Masyarakat kita (orang lama seperti embun)suka mendengar lagu lama yang dinyanyikan penyanyi baru dengan patah dan lenggok yang sama seperti penyanyi asal tanpa perlu diubahsuai dengan cara nyanyi yang baru yang sudah pastinya akan merosakkan lagu asal tersebut. Ramai penyanyi masa kini yang kononnya berusaha menaikkan semula kemahsyuran dan kegemilangan lagu-lagu lama tetapi gagal menarik perhatian masyarakat apabila ramai yang mengeji daripada memuji. Ada pula yang seolah-olah mengada-ngada bila menyanyikan semula lagu lama dengan cara mereka sendiri. Kita perlu pelihara lagu-lagu lama ini dan keasliannya sebagai satu warisan budaya yang tidak ternilai kepada generasi akan datang dan memulihara nya
dengan tidak mengubahsuai semula patah dan lenggok lagu supaya generasi akan datang tahu kedudukan asal patah dan lenggok asal lagu tersebut.

Berbalik kepada pertandingan Bintang Klasik Nasional - embun rasa bangga dengan pencapaian juara kategori lelaki iaitu Mohd Azwan Shahdi. Sebelum ini, beliau dinobatkan sebagai Bintang Irama Malaysia kategori lelaki apabila muncul juara pertandingan tersebut. Apa tidaknya, embun pernah sama-sama berentap dengan Azwan ni dalam pertandingan yang serupa tetapi di peringkat separuh akhir kebangsaan. Tahniah Azwan ! - ko memang layak menang. Seorang lagi finalis yang mewakili zon selatan iaitu Mohd Faizal Rahim, biarpun kecundang pada kali ini namun seharusnya berbangga kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat tertinggi pertandingan ini. Tahun lepas Faizal muncul Juara Idola P Ramlee peringkat kebangsaan di Istana Budaya. Dengan Faizal ni embun pun bangga gak kerana pernah berentap dalam pertandingan Idola P Ramlee & Saloma 2007 peringkat separuh akhir. Itu yang embun gelarkan suara berharga rm10,000 kat Faizal nih! Takpe pejal, ko cuba lagi tahun depan - ko muda lagi, banyak lagi peluang kat luar tu.

Embun ni macam ni lah, bagi support kat kawan-kawan yang sama-sama minat menyanyi. Kalau kat tempat embun pernah juga muncul juara peringkat bahagian (kalau kat sini peringkat daerah - antara semua daerah di negeri johor)dalam pertandingan lagu melayu asli.Nanti embun muatkan gambar trofi kemenangan embun sebagai kenang-kenangan embun dan arkib online embun. Dulu masa muda-muda sibuk itu ini, tidak berkesempatan nak santaikan diri dan bila dah kertu ni, minat makin semarak lah pulak malangnya usia menjadi penghalang - hai ... bukan rezeki embun ...

0 Comments:

Post a Comment