Autograf

Selasa, 29 Julai 2008

Anak siapa agaknya mereka
berbaju membuka aurat
celana terlalu ketat
mati akalkah keluarga mereka
mati hati agaknya kita

(Petikan puisi Anak Siapa yang di tulis oleh Abdullah Jones pada 7 Disember 1999).

Entah anak siapa
gerangan dia
entah agama apa
anutan dia
bertudung kepala
baju ketat
seluar sendat
nampak pusat

(Petikan puisi Anak Siapa karya Aladin Mohamad yang ditulis pada 11 Disember 2005).

BERDASARKAN kedua-dua puisi ini kita akan mengatakan ia adalah karya ciplak atau plagiat.
Secara logiknya Aladin mencedok idea dan gagasan Abdullah yang terlebih dahulu
menghasilkan puisi dengan tema sedemikian.

Begitu juga lukisan-lukisan Redza Piyadasa yang dikatakan diciplak daripada karya-karya
pelukis Eropah. Beberapa karyanya seperti Marakesh Revisited (1971), Homage to Malevich
(1971), Chained Art (1976), The Great Malaysia Lanscape (1972) dikatakan karya-karya
ciplak.

Karya-karya tersebut kononnya mempunyai persamaan dari aspek konsep dan idea dengan
beberapa karya pelukis Eropah seperti Homage to Johann Sabastian Bach (1965), Four
Themes, Counterpoint (1959) oleh Yaacov Agam dan Art Box (1962-63) oleh Robert
Rauschenberg.

Menciplak bermaksud menyalin sesuatu karya ataupun karangan secara keseluruhan. Pada
lazimnya, perbuatan ini lebih dikenali sebagai salin dan tampal. Daripada amalan ciplak ini, dua
karya yang seratus peratus sama akan muncul pada dua tempat serta waktu berbeza.

Namun, benarkah Aladin menciplak karya Abdullah Jones dan Redza menceduk secara
keseluruhan lukisan-lukisan pelukis terkenal Barat yang berkarya jauh sebelumnya?

Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran ini. Kita boleh sahaja misalnya ‘menghukum’ Redza
kerana banyak persamaan dari aspek konsep, teknik dan gaya dalam karya-karyanya yang
banyak menyamai Yaacov Agam, Rauschenberg dan Larry Rivers.

Kadang-kadang kita perlu melihat dari aspek lain yang lebih positif. Misalnya, persamaan atau
peminjaman idea seseorang pengarang atau pelukis itu dalam berkarya (seperti antara
Abdullah Jones dan Aladin).

Dalam sejarah perkembangan kreatif dan seni di negara ini, banyak titik hitam berhubung isu
penciplakan. Filem misalnya sering memperlihatkan berlakunya improvisasi dan penciplakan
meskipun masih ada ‘wajah’ karya asal yang ditiru.

Kita pasti teringat sebuah karya ciplak di dalam telefilem yang disiarkan oleh sebuah saluran
televisyen swasta iaitu Kek & Roti dan Pukau.

Ingat Shallow Hal lakonan Gwyneth Paltrow (Rosemary) dan Jack Black (Hal Larsen)? Filem
yang diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Bobby dan Peter Farrelly ini mengangkat tema
tentang ‘penilai’ kecantikan.

Begitu juga juga drama Datin Dairies. Ia mempunyai banyak persamaan dengan drama
Amerika Syarikat, Desperate Housewives. Ciri-ciri cedukan sangat ketara. Tapi kita bangga
melabelnya sebagai hasil seni tempatan.

Dalam perkembangan sastera tanah air, isu ciplak seolah-olah telah menjadi kanser yang
semakin merebak. Pada awal tahun 2000 misalnya, seorang penulis dari Kedah yang kini
menetap di Selangor, menciplak karya Faisal Tehrani dan Syaidah Shafie?

Cerpen Khadijah Hashim berjudul Budi Yang Tidak Terbeli yang tersiar di majalah Wanita Mei
1971 juga telah diciplak oleh Noor Ilhamizan dan tersiar pula dalam majalah Pentas Dunia (6
Oktober 2000).

Penulis muda Zimie Abadi pula menciplak cerpen Aminah Mokhtar (Jelita, 1999). Cerpen Zimie
Abadi tersebut tersiar dalam majalah Al-Islam, Ogos 2000.
Herbert Marcuse dalam One Dimensional-Man (1964) melihat perkembangan negatif dalam
bahasa, sastera dan falsafah tersebut dipengaruhi oleh perkembangan objektif manusia.

Manusia berlumba-lumba untuk meraih kedudukan dan demi mempertahankan hegemoni
kelompok masing-masing, mereka melakukan perbuatan negatif termasuk ‘mencuri’ hasil-hasil
kajian akademik.

‘‘Fenomena buruk dalam bahasa dan sastera ini boleh diperbaiki oleh golongan minoriti yang
melakukan ‘pengkhianatan’ terhadap karya-karya orang lain.

‘‘Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan melalui evolusi sosial tetapi tindakan sengaja dan
sedar mereka yang melakukan pelanggaran (termasuk penciplakan) itu,’’ tulis George Orwell
dalam bukunya Why I Write (2004).

sumber : portal pendidikan

Pertama,

Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua,

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga,

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan di anggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat,

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima,

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu...dan meminta maaf darimu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Moral Tazkirah Pilihan dan Pengajarannya :

Adalah penting dalam memilih sahabat yang baik lagi ikhlas, jujur dan sentiasa memahami diantara satu dengan yang lain walaupun dalam keadaan apa sekali pun. Dengan adanya rakan atau sahabat yang baik ini sesatu Persatuan ataupun Kumpulan (persahabatan) ini dapat di kekalkan dan akan menjadi yang terkuat dan teragung dalam melaksanakan satu tanggungjawab dalam segala segi Perbuatan dan Amalan.

sumber : portal pendidik

Isnin, 28 Julai 2008

Daftar Blog

Hari ini (28hb Julai 2008) dalam sejarah hidup embun menitik mengorak selangkah lagi mendaftarkan diri di laman web sebagai penulis blog. Walaupun agak terkemudian daripada orang lain, namun tidak timbul sedikit pun rasa kesal kerana kita sebagai manusia biasa sememangnya berbeda daripada segi JERI.

Sejak sekian lama menyimpan hasrat untuk memiliki blog sendiri namun tidak pasti pula apa yang harus dimuatkan sebagai pengisian di dalam blog itu nanti. Bukan tidak menyakini keupayaan diri sendiri, mungkin kerana sifat azali embun menitik yang lebih banyak berfikir apakah kemungkinannya nanti kalau mengikut rasa hati, kesudahannya tidak memuaskan mungkin kurang memuaskan (tidak keterlaluan kalau embun menitik katakan), tidak meyumbang kepada keperluan komuniti yang melayari blog embun menitik itu nanti.

Sentiasa berhati-hati dan teliti selama ini yang menyebabkan embun menitik selalunya terkemudian daripada orang lain di dalam apa juga persoalan hidup dan kehidupan. Namun begitu, ada ketikanya embun menitik bangga dengan sikap embun menitik itu kerana tidak ada orang lain lagi yang serupa dengan embun menitik sekiranya embun menitik sudah tidak ada lagi di dunia ini. Kalau ada pun, tetap tidak akan sama dengan embun menitik yang asli!

Apapun paparan di dalam blog ini, adalah citarasa embun menitik - tidak berniat pun untuk meniru paparan di dalam laman blog orang lain. Kalau ada pun yang mempersoalkan, embun menitik akan tetap positif mengatakan ianya adalah perkongsian ilmu dan maklumat dalam apa juga bidang sekalipun untuk kebaikan (menjadi pedoman) dan sebagai sempadan untuk kita meniti hidup ini yang sudah semestinya digarisi norma hidup bermasyarakat.

Rasanya cukup setakat ini pengenalan untuk pertama kalinya "menulis" tanpa dakwat dan kertas. Insyallah dengan maklumbalas daripada pembaca blog nanti, akan memantapkan lagi apa sahaja pengisian yang bermanfaat untuk semua. Sekian, ikhlas dari hati, suci dari sanubari, salam perkenalan dan persahabatan penuh kemesraan yang abadi selalu dari embun menitik.