Autograf

Ahad, 31 Ogos 2008


Ramadhan datang lagi dengan seribu satu macam harapan bermukim dihati. Semoga segala ibadah kita diberkati ALLAH hendaknya di bulan yang penuh keberkatan ini.

Khamis, 21 Ogos 2008

10 RAHSIA KEJADIAN MANUSIA

Isu Agama Allah telah mengurniakan beberapa keistimewaan kepada makhlukNya yang dipanggil manusia. Keistimewaan ini ialah grand design dan menjadi rahsia Allah yang tidak diceritakan kepada makhluk-makhlukNya yang lain, termasuklah para malaikat. Apabila malaikat menyoal Allah, adakah kemungkinan manusia akan membuat kerosakan dimuka bumi. Allah menjelaskan bahawa, kejadian manusia adalah untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini. Memang beruntung makhluk yang bernama manusia ini.

Buktinya dapat dilihat dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud “Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Lalu para malaikat bertanya, ‘Apakah Engkau hendak menjadi di muka bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kali sentiasa bertasbih dan memuji Engkau?’ Allah menjelaskan; ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Walau bagaimanapun, rahsia kejadian manusia itu Allah ceritakan dalam kalamNya yang teragung, iaitu Al-Quran.

Rahsia Pertama – Allah sendiri Memuliakan manusia

Allah sendiri telah memuliakan makhluk yang bernama manusia ini. Allah berfirman dalam Al-Quran(surah al-Isra : 70) yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam(manusia) dan Kami tempatkan mereka di bumi dan di lautan serta Kami berikan kepada mereka dari jenis yang baik-baik. Dan Kami berikan mereka banyak kelebihan daripada makhluk-makhluk lain yang Kami jadikan.”

Rahsia Kedua – Manusia dijadikan dengan Sebaik-baik Kejadian

Allah berfirman dalam surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Sebaik-baik kejadian manusia termasuk dijadikan akal dan pancaindera yang boleh membina tamadun bumi ini. Makhluk lain tidak diberikan kelebihan akal ini. Kalau tidak, dah lama nelayan susah nak tangkap ikan.yelah, ikan-ikan bijak berfikir, tau orang nak tangkap. Tak ke susah manusia nak makan ikan.hehehe.

Rahsia Ketiga – Manusia diberi Akal Fikiran

Kemuliaan manusia kerana diberikan akal daripada Allah. Itulah kelebihan yang nyata manusia berbanding makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Rasullah S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud “makhluk yang mula-mula sekali dijadikan Allah ialah akal. Maka Allah berfirman kepadanya; ‘Menghadaplah kepadaKu’. Akal pun menghadap. Kemudian firmanNya lagi; ‘Membelakangilah Aku’. Lalu akal membelakang. Allah berfirman lagi mengenai akal; ‘Demi kemuliaan dan kebesaran Aku, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa.” (riwayat Tabrani dari Abi Umamah).

Akal ialah makhluk yang mula-mula dijadikan dan termulia daripada makhluk lain. Dengan akal juga, manusia menjadikannya sebagai panduan dan neraca dalam hidup untuk mendapatkan pahala atau neraka. Di samping itu, dengan akal, iman, agama dan akhlak manusia akan menjadi sempurna. Mana-mana manusia yang menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan petunjuk, mendapatkan iman, membina akhlak dan panduan dalam hidup, maka manusia itulah yang mendapat martabat mulia dan tinggi di sisi Allah serta makhluk lain. Tetapi jika sebaliknya, maka tergolonglah manusia itu ke dalam golongan yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran sebagai yang lebih hina daripada haiwan. Rujuk Surah al-A’raf, ayat 179.

Sabda Rasullah, yang bermaksud “Orang yang paling sempurna akalnya di antara kamu ialah orang yang paling takutkan Allah dan amat mengambil berat mengenai perintah dan larangan Allah walaupun dia melakukan amalan sunat sedikit.” (riwayat Ibnu Mahbar). Bagi orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir, merenung, merancang dan menghasilkan sesuatu yang berguna, maka faedah pahalanya melebihi ibadah sunat setahun!

Rahsia Keempat – Manusia dilantik Allah sebagai Khalifah

Maksud khalifah ialah wakil atua pengganti. Apabila manusia dilantik menjadi khalifah di bumi ini, bermakna dia dilantik sebagai wakil bagi pihak Allah untuk mengurus dan mentadbir muka bumi mengikut peraturan yang telah ditetapkanNya. Jawatan ini hanya diserahkan kepada manusia, yang menunjukkan bahawa manusia memang makhluk Allah yang mempunyai darjat dan kedudukan tinggi pada pandangan Allah. Pentaulihan ini jelas diterangkan dalan al-Quran, surah al-An’am, ayat 165 yang bermaksud “Dan Dialah yang menjadikan kamu(manusia) sebagai khalifah di muka bumi ini.”

Rahsia Kelima – Manusia Diatur Keturunan dengan Baik.

Manusia sahaja yang diberi peraturan dan panduan dalam kekeluargaan. Makhluk lain tidak. Cuba tengok lembu, mana ada nak berkenal-kenalan, merisik, bertunang dan berkahwin, dan kemudian dapat anak. Lembu jantan main belasah aje, tanpa mengira lembu betina kepunyaan siapa pun. Tup…tup, lembu betina dah bunting (dengan izin Allah).Bapa lembu tak kisah dah(buat don’t know aje…). Kalau manusia mana boleh. Perlu ada ikatan perkahwinan. Dan zuriat yang dilahirkan berbin kan si bapanya. Hal ini ingin menjaga kerukunan hidup manusia itu sendiri.

Rahsia Keenam – Manusia mempunyai tempat tinggal khusus dan Indah

Kita ni sebenarnya diciptakan Allah dengan memiliki sifat kreatif. Kita mampu mempelbagaikan bentuk dan jenis tempat tinggal yang kita ingini(tak perlu ambil course senibina pun!). Manusia juga kreatif membuat pelbagai kerja untuk tujuan mencari nafkah. Tidak seperti binatang yang tidak ada tempat tinggal dan tidak kreatif membuat pelbagai jenis kerja. (kuda-kuda kat UTM.hidup mewah..kipas nak 24 jam,makan nak best-best..huhuhu)

Maka tak hairan la manusia tinggal di rumah yang cantik, indah dan dihiasi pelbagai jenis perhiasan, perabot dan lain-lain. Bidang pekerjaan untuk mencari nafkah terlalu banyak, contohnya petani, tukang masak, guru, doktor, jurutera, pelukis dan lain-lain. Keadaan ini wujud hanya bagi manusia! Bayangkan kalau itik pergi keje, tak ke pelik tu!

Rahsia Ketujuh – Manusia makhluk bermasyarakat

Manusia dijadikan dalam pelbagai bangsa dan bersuku. Mereka boleh berkenalan, hidup rukun dan aman, malah suka membantu. Pendek crite, manusia boleh membentuk masyarakat la.

Rahsia Kelapan – Manusia diberi kuasa memilih

Manusia diberi keisitmewaan untuk memilih jalan hidupnya, sama ada untuk hidup bahagia atau terseksa, sama ada di dunia atau akhirat. Manusia tidak pernah dipaksa. Mereka memilih sendiri jalan hidup, dan akan bertanggungjawab terhadap jalan hidup yang dipilihnya. Agama atau pegangan hidup bagi manusia juga sesuai dengan fitrah dan sifat semulajadinya.

Allah berfirman yang bermaksud: “ Tidak ada paksaan dalam agama.Sesungguhnya telah jelas dan nyata jalan kebenaran dan jalan kesesatan.Siapa yang menolak jalan taghut dan memilih jalan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali Allah yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui". (Surah Al-Baqarah : 256) .

Rahsia Kesembilan – Kemuliaan Manusia kerana Berakhlak

Manusia menjadi makhluk yang termulia di sisi Allah adalah kerana Allah telah sempurnakan akhlak manusia itu. Ini merupakan kemuncak tertinggi dalam diri manusia. Baginda Rasullah mengakuinya dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”(Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).

Akhlak mulia merupakan hasil dari ibadah dan cara hidup orang Islam. Setiap orang akan dinilai dari segi akhlaknya. Kalau baik akhlaknya, maka ia akan dianggap baik dan juga sebaliknya. Rasullah juga menegaskan bahawa akhlak mulia itu mempunyai kaitan dengan agama(cara hidup). Sabda baginda yang bermaksud: “Bermula agama itu ialah budi pekerti mulia”(Riwayat Muhammad bin Nasyur).

Pernah seorang sahabat datang memberitahu Rasullah bahawa terdapat seorang wanita ahli ibadah, yang waktu malamnya bertahajud dan siang berpuasa sunat, tetapi mempunyai akhlak yang buruk dan suka menganggu serta menyakiti hati jiran dengan lidahnya. Maka Nabi S.A.W dengan tegasnya bersabda yang bermaksud : “Tidak ada kebaikan pada wanita itu dan dia termasuk ahli neraka”(Riwayat Ahmad dan Hakim).

“Sekiranya aku berkawan dengan orang derhaka tetapi berakhlak mulia, lebih baik bagi aku daripada brekawan dengan seorang ahli ibadah yang berakhlak buruk”-Fudhail

Kesempurnaan akhlak seseorang itu juga berkait rapat dengan kesempurnaan akalnya. Ini bermakna akal dan akhlak tidak terpisah. Itulah nilai martabat makhluk selaku manusia. Mulia atau hinanya bangsa itu bukan terletak pada kekuatan senjata dan kekayaan harta tetapi lebih banyak terletak pada akhlak mulia.

Untuk mengembalikan kekuatan, kemuliaan dan keagungan umat Islam, tidak cukup dengan hanay membina kekuatan ekonomi, politik dan senjata tanpa akhlak mulia. Akhlak mulia ialah asas kekuatan umat Islam. Selagi umat Islam berakhlak mulia, selama itu akan disegani dan dihormati oleh semua bangsa. Kekuatan zahir hanya dijadikan sebagai kekuatan tambahan.

Rahsia Kesepuluh – Manusia mampu mengendali dan meningkatkan maqam nafsunya

Malaikat berjiwa suci, tapi tiada nafsu. Binatang pula diberi nafsu tanpa akal. Manusia pula diberikan akal dan nafsu serta perasaan. Nafsu sebenarnya dapat dipecahkan kepada beberapa jenis. Antaranya :

1) Ammarah
2) Lawwamah
3) Mulhimah
4) Mutmainnah
5) Radhiah
6) Mardhiah
7) Kamilah

Nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan. Nafsu ini adlah nafsu ammarah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberikan kemampuan dan kekuatan untuk manusia mengendalikan nafsu sehingga menjadi baik dan boleh didorong kepada kebaikan. Nafsu yang terdidik menjadi baik iaitu nafsu mutmainnah. Nafsu ini adalah nafsu ahli syurga.

Nafsu ada yang baik dan ada yang jahat. Kedua-duanya wujud dalam diri manusia. Siapa yang dikuasai salah satu daripadanya, dia akan bersifat dengan pilihannya itu. DAN untuk menentukan antara nafsu itu yang menjadi sifat manusia, ia bergantung sejauh mana akal manusia itu berusaha mengendalikan dan mengawal serta berusaha untuk mencapai nafsu yang baik.

Nafsu jahat boleh dikalahkan dan nafsu baik boleh ditingkatkan dengan beberapa latihan, melalui 4 cara iaitu kurangkan makan, kurangkan tidur, bercakap sekadar perlu dan sabar dengan ujian yang menimpa.



10 PETUA MEMBINA SIKAP POSITIF

Pelbagai Petua 1 : Jangkakan Kejayaan

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan.

Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.

Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.
Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun.

Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.

Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:
1. Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
2. Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
3. Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
7. Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
9. Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
10.Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.

Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi.

Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.

Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.

Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya.

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:

- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.

Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri

Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.

Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.

Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.

Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.

Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video.

Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini.


Petua 8 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.

Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:

“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif

Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda. Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalan-soalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak? Dan sebagainya.

Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:

- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.

Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran. Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka mungkin berkata:

- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.

Soalan yang positif akan:

- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita

Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan

Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.

Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W.

Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja.

Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.

10 FITRAH MANUSIA CANTIK

Pesanan 1. Membetulkan misai. Lelaki yang menyimpan misai harus memastikannya dalam keadaan terurus dan digunting apabila perlu agar ia sentiasa kelihatan kemas dan bersih. Jika perempuan tumbuh misai, maka wajiblah dibuang.

2. Menjaga janggut. Menyimpan janggut adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana pun, dalam masa yang sama ia mesti dijaga rapi.

3. Memendekkan kuku. Segala kotoran tidak melekat serta memudahkan air sembahyang sampai ke celah-celah kuku jika ia dipendekkan.

4. Membersihkan sendi tangan. Memastikan celah-celah jari serta tangan sentiasa digosok dan dibersihkan sebagaimana yang dianjurkan semasa mengambil wuduk.

5. Membersihkan sendi kaki. ia boleh dilakukan semasa mengambil wuduk atau semasa mandi.

6. Kebersihan hidung. Dengan beristinsyaq atau menyedut air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersih, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.

7. Mencabut dan membersihkan bulu ketiak. Islam tidak menggalakkannya dicukur kerana ia akan menyebabkan bulu ketiak cepat tumbuh dan lebih kasar.

8. Kebersihan mulut. Dengan menggosok gigi atau bersiwak ketika berwuduk, sebelum solat, ketika mulut berbau, ketika masuk rumah, bangun tidur dan ketika hendak belajar.

9. Mencukur bulu ari-ari. Islam tidak menggalakkan dicabut kerana akan mengendurkan otot-otot di sekitarnya.

10. Mencebuk air. (mandi dan membasuh bahagian sulit). Wanita diwajibkan berdehem semasa membuang air kecil agar ia tidak bersisa.

10 PERINGATAN BUMI

Isu Agama Untuk peringatan pada diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka. Sedarlah bahawa bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.

Berkata Anas Bin Malik r. a;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

sumber : http://www.mypendidik.net

Semalam 20hb, hantar pulut kuning kat umah kat kak mah. Katanya suka sangat makan pulut kuning. Ni gambar yang embun amik gunakan hp ja. Masa ni dah kat umah kak mah, dia serve dalam bowl kecik2 ni untuk kita orang makan. Tadi masa kat umah memang tak snap pun pasal masih dalam loyang. Segan gak actually nak tunjukkan gambar kat sini, tapi takpa, tak nak hipokrit lah pulak, hasil kerja sendiri. Kak mah suka sangat tapi serunding tu masin sikit katanya. Hai.. orang bujang baru nak belajar masak. Resipi ni pun dari Myresipi.com, saja nak cuba buat sendiri pasal sebelum ni makan dan komen ja pandai pulut kuning ni! Totally ikut yang macam dalam resipi tu.

Serunding kelapa tu dah 2 minggu lepas buat, saja nak buat untuk makan. Pun sama gak kaler dia bertukar dalam gambar tuh. Agaknya kena reflection alas meja kak mah yang kaler kuning tu atau kualiti kamera hp murah embun tu (1.3megapixel) ja. Apapun embun berpuas hati, walaupun dalam gambar tak lawa.

Selasa, 19 Ogos 2008

Sabtu lepas 16 Ogos, sebelum keluar dengan kazen, mak usu dan kak mah sempat buat kek gula hangus, resipi yang di kidnap dari kak dee. Kak dee bakar kek tu, tapi embun try wat cara lain - kukus. Saja nak cuba tengok sarang dia menjadi ke tak. Bila dah siap, alhamdulilah juga, adalah juga sarang yang menjadi. Mak usu pun cakap sedap dan tak kurang lah pulak rupanya dari kek yang dibakar. Semua cara-cara menyediakan embun copyright cara kak dee - gunakan blender. Senang, mudah dan ringkas! Itupun sebab bahan2 yang digunakan dalam jumlah yang sedikit. Kalau dalam kuantiti yang banyak kenal lah juga gunakan mixer.

Then, the next day, embun, kazen dan kak mah hantar lak mak usu ke airport. Mak usu balik Sarawak setelah beberapa lama di sini. Tinggal lah berdua dengan kazen kat umah. Kak mah kat umah dia sendiri. Sedih gak tengok kak mah nangis time mak usu nak masuk balai berlepas. Bila sampai umah rutin harian sebelum ni bermula lagi iaitu memasak untuk diri sendiri dan kazen. Kalau dah reti nak masak untuk mengisi perut sendiri watpe lah nak berlagak makan kat luar tu. Lebih jimat kos. Harga barang itu ini suma naik, nilah time untuk save sikit. Jumaat lepas pusing2 kat Tanjung Kupang. Sempat beli pucuk ubi kerana tetiba ja mengidam nak makan pucuk ubi. So bermula lah episod menjadi penghuni dapur yang setia. Pucuk ubi akan menjadi mangsa hari ni. Tapi embun tak masak macam yang orang lain masak - masak lemak ke apa2. Embun cuma masak tumis kering dengan belacan Sarawak. Pucuk ubi tu pulak embun tak hiris2 tapi gosok dengan tapak tangan atas nyiru Sarawak (nyiru yang orang gunakan untuk menampi padi / beras tu), tapi yang embun gunakan nyiru yang kecil yang emak embun buat sendiri.

Pucuk ubi ni memang kegemaran embun, kalau makan hari-hari pun embun tak jemu. Siap makan dengan ikan terubuk masin ke, goreng ke atau bakar lagi. Sedap! Belum lagi kalau embun jadikan pucuk ubi ni sebagai pekasam. Pekasam pucuk ubi ni sedap kalau dimakan dengan nasi putih tambah sayur keladi ke atau apa-apa yang sesuai dan menyelerakan tekak embun. Tapi embun ni memang jenis yang tak memilih kalau bab makan ni. Lagi suka kalau makan yang menu nya kampungan gitu.

Ni pula baki lepas buat laksa sarawak hari tu. Masa sediakan laksa sarawak, sengaja embun tak gunakan kepala udang sebab mak usu tak reti nak makan kepala udang. Jadi embun simpan ja dalam freezer. Saja campurkan tauge dengan kepala udang, daripada dibuang, elok dimasak tambahan kepala udang tu bukannya kotor dan beracun pun. Hasilnya, jadilah menu masakan orang bujang.

Jumaat, 15 Ogos 2008

Ramai juga kawan-kawan yang tanya pasal kek lama di Sarawak yang tidak berlapis. Ada juga embun muatkan dalam Myresipi.com dalam profail rahman bestari. Kalau nak ikutkan memang banyak juga koleksi resipi lama kek sarawak dalam simpanan embun. Ada yang embun beli satu resipi tu dengan harga rm1! Ada yang embun dapatkan daripada kawan-kawan dan daripada simpanan bonda tercinta. Embun sayang sangat koleksi resipi-resipi itu kerana kalau tidak simpan, alamat akan hilang lah bukti kepakaran dan kemahiran anak watan itu nanti.

Namun, dalam pada itu lebih banyak masa embun digunakan untuk membaca, meneliti setiap proses penyediaan kek kukus sebagaimana terdapat di dalam resipi tersebut. Timbul pula tugas baru iaitu mengedit perkataan, bahasa dan nahu yang digunakan agar lebih mudah untuk difahami. Walaubagaimanapun, masih juga berbaki beberapa resipi yang masih belum dapat embun perbetulkan daripada segi bahasanya kerana terdapat banyak percanggahan kenyataan di dalam aspek bahan dan cara penyediaan. Contohnya, kalau dalam bahan-bahan ada dinyatakan bahan A, akan tetapi bila tiba bab cara membuatnya, tiada langsung dinyatakan kewujudan bahan A. Ini agak memeningkan kepala. Apapun, embun selalu berimaginasi dengan menggunakan segala kreativiti untuk mengubah
penggunaan bahan secara logik dan ubahsuai cara penyediaannya. Hasilnya embun dapat satu resipi baru tetapi masih menggunakan tajuk resipi asal.

Seringkali terdengar di telinga dan terbaca di mana-mana blog berasaskan pembuatan kek kukus ni ialah persoalan tentang berapa lama sesuatu kek itu boleh bertahan.
Untuk menjawab persoalan itu, embun kongsikan beberapa tip berikut :

a. lebihkan waktu mengukus dengan mengecilkan api.sebagai contoh sebiji kek mungkin
ada anggaran masa untuk mengukus selama 1 setengah jam, boleh dilanjutkan sehingga dua jam.
b. pastikan kek betul-betul sejuk sebelum dipotong untuk dihidangkan dan dibungkus
menggunakan aluminium foil dan disimpan di dalam peti sejuk. pastikan juga pisau memotong bersih dan kering.
c. selepas mengukus, bolehlah dibakar sekejap di dalam oven selama 10 - 15 minit bergantung keadaan kek. ini adalah untuk mereka yang tidak menggemari moist cake yang agak berminyak dan basah.
d. mutu ketahanan kek pada kebiasaannya bergantung pada bahan yang digunakan untuk membuat kek tersebut. Kek kukus yang berasaskan buah-buahan (kismis, dates, prune, sultana, dsbgnya) biasanya akan tahan lebih lama berbanding kek biasa yang tidak menggunakan buah-buahan.

Embun pun bukannya pakar dalam pembuatan kek ini, tapi melalui pengalaman dan pembelajaran secara tidak langsung apabila membuat kek, maka dapatlah sedikit sebanyak ilmu selain rajin bertanya kepada mereka yang lebih arif. Di atas adalah sekadar beberapa bentuk penelitian yang embun perolehi hasil membuat kek sejak dari bangku sekolah menengah lagi.

KEK SRIKAYA TEBAL

Bahan-bahannya :-

10 biji telur
3 botol kecil pandan paste
1 tin susu manis
1 botol horlick
2 gelas gula halus
2 gelas tepung gandum
16 oz mentega
1 tin srikaya

Cara Membuatnya :-

Mentega dan gula dipukul sampai kembang. Masyukkan kaya, susu, horlick, pandan paste dan tepung gandum. Gaulkan hingga rata. Masukkan telur satu persatu. Gaulkan lagi sehingga rata dan sebati. Kukus adunan sampai masak.

KEK HOLIDAY INN

Bahan-bahannya :-

10 biji telur
16 oz mentega
1 gelas gula halus
1 gelas tepung gandum
2 gelas horlick
1 tin susu manis
1 botol kecil browning

Cara Membuatnya :-

Gula dan mentega dipukul sampai kembang. Masukkan tepung gandum, horlick, susu dan browning. Gaulkan rata dan sebati. Kukus sampai masak.

KEK EVERGREEN

Bahan-bahannya :-

10 biji telur
16 oz mentega
1 ½ gelas gula halus
1 botol kecil horlick
1 ½ gelas tepung gandum
½ tin susu manis
2 sudu makan tepung biskut(cheese cracker)
2 botol kecil pandan paste

Cara Membuatnya :-

LAPISAN BAWAH :- kuning telur dipukul dengan ½ gelas gula. Masukkan ½ tin mentega dan kacau hingga rata dan sebati. Masukkan horlick dan tepung roti, 1 gelas tepung gandum dan pandan paste. Kukus hingga masak.

LAPISAN ATAS :- pukul putih telur dengan 1 gelas gula halus. Pukul baki mentega di tempat lain dengan ½ tin susu sehingga rata dan sebati. Setelah itu masukkan ke dalam adunan putih telur tadi. Gaulkan rata sebelum dimasukkan ½ gelas tepung gandum. Kacau lagi hingga betul-betul sebati. Tuangkan di atas lapisan bawah kek tadi dan kukus sampai masak.

KEK PILEH KASEH

Bahan-bahannya :-

16 oz mentega
10 biji telur
1 tin kecil kaya
1 botol kecil horlick
½ tin susu manis
½ kg lengak/ bijan (digoreng tanpa minyak)
1 sudu teh vanila
2 ½ gelas kacang tanah (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk halus)
1 ½ gelas gula halus
1 gelas tepung gandum
2 gelas tepung biskut marie
6 sudu makan milo
3 sudu teh browning

Cara Membuatnya :-

Pukul mentega dengan gula sampai kembang. Masukkan telur satu persatu. Kacau rata.Susu, kaya, horlick, milo digaul sampai rata dan sebati di tempat lain dan masukkannya ke dalam adunan telur tadi. Masukkan vanila, browning, lengak, kacang, tepung biskut dan tepung gandum. Kacau rata dan sebati. Kukus sehingga masak.

Khamis, 14 Ogos 2008

10hb Ogos yang lalu berlansung dengan jayanya pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008. Embun ni bukan apa, disebabkan minat yang mendalam terhadap lagu-lagu melayu lama ni mendorong embun untuk mengikuti perjalanan dan perkembangan aktiviti yang dijadualkan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Selain itu, untuk mengubat rasa terkilan embun kerana tidak dapat melayakkan diri untuk turut serta di dalam pertandingan seumpama itu disebabkan oleh faktor usia. Makanya, dengan mengabadikan perihal cerita pertandingan serta gambar yang berkaitan di dalam blog embun yang tidak sepertinya ini, menunjukkan embun memberikan sokongan yang padu terhadap usaha-usaha ke arah memartabatkan lagu-lagu lama dan mengenang kembali penyanyi lama (penyanyi asal lagu-lagu yang dipertandingkan)secara tidak langsungnya.

Sokongan daripada segi apapun seharusnya diberikan kepada pihak penganjur iaitu Radio Televisyen Malaysia atas usaha yang tidak pernah jemu mengetengahkan bakat-bakat baru yang berkualiti untuk menjulang kembali nostalgia lagu-lagu lama ini. Kalau sebelum ini, Malaysia menjadi saksi kemenangan Muhaizam Ahmad dan Anis Salwa Alaudin yang sudah pastinya berbakat menyanyi dan pada tahun ini pula menjulang nama Azwan Shahdi dan Sabihah Wahid yang sudah tentunya menambah bilangan penyanyi muda yang berkualiti dalam mempelopori lagu-lagu lama pada zaman sekarang.
gambar dari : utusan online
Masyarakat kita seharusnya peka dengan kehadiran barisan penyanyi muda yang berbakat dan berkualiti ini dan tidak hanya akan menoleh dan memberi sokongan kepada penyanyi yang berwajah menarik, berpenampilan seksi dan sahaja. Berkualiti dalam erti kata boleh menyanyi dan menyampaikan pelbagai genre lagu termasuk lagu-lagu "lama" dengan memuaskan. Mentaliti kita sepatutnya sudah lama berubah demi kejayaan berkekalan dalam industri seni suara tanah air.

Satu fenomena yang embun perhatikan sejak kebelakangan ini ialah dengan munculnya falsafah "jangan tiru penyanyi asal dan nyanyi ikut cara sendiri" sepatutnya tidak timbul. Secara peribadi embun amat tidak menyetujui ide ini malah menolaknya sama sekali. Sememangnya pun setiap daripada mereka yang menyanyi itu ada memiliki cara nyanyi yang tersendiri (tidak akan sama dengan penyanyi lain)dan apabila menyanyikan semula / kembali lagu-lagu penyanyi lain sudah pastinya tidak akan sama dengan penyanyi asal walaupun secara kasarnya nampak sama - tapi tidak serupa. Embun paling tidak suka mendengar lagu yang diubah patah lagu dan lenggoknya. Ini kerana ia sudah hilang keasliannya. Masyarakat kita (orang lama seperti embun)suka mendengar lagu lama yang dinyanyikan penyanyi baru dengan patah dan lenggok yang sama seperti penyanyi asal tanpa perlu diubahsuai dengan cara nyanyi yang baru yang sudah pastinya akan merosakkan lagu asal tersebut. Ramai penyanyi masa kini yang kononnya berusaha menaikkan semula kemahsyuran dan kegemilangan lagu-lagu lama tetapi gagal menarik perhatian masyarakat apabila ramai yang mengeji daripada memuji. Ada pula yang seolah-olah mengada-ngada bila menyanyikan semula lagu lama dengan cara mereka sendiri. Kita perlu pelihara lagu-lagu lama ini dan keasliannya sebagai satu warisan budaya yang tidak ternilai kepada generasi akan datang dan memulihara nya
dengan tidak mengubahsuai semula patah dan lenggok lagu supaya generasi akan datang tahu kedudukan asal patah dan lenggok asal lagu tersebut.

Berbalik kepada pertandingan Bintang Klasik Nasional - embun rasa bangga dengan pencapaian juara kategori lelaki iaitu Mohd Azwan Shahdi. Sebelum ini, beliau dinobatkan sebagai Bintang Irama Malaysia kategori lelaki apabila muncul juara pertandingan tersebut. Apa tidaknya, embun pernah sama-sama berentap dengan Azwan ni dalam pertandingan yang serupa tetapi di peringkat separuh akhir kebangsaan. Tahniah Azwan ! - ko memang layak menang. Seorang lagi finalis yang mewakili zon selatan iaitu Mohd Faizal Rahim, biarpun kecundang pada kali ini namun seharusnya berbangga kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat tertinggi pertandingan ini. Tahun lepas Faizal muncul Juara Idola P Ramlee peringkat kebangsaan di Istana Budaya. Dengan Faizal ni embun pun bangga gak kerana pernah berentap dalam pertandingan Idola P Ramlee & Saloma 2007 peringkat separuh akhir. Itu yang embun gelarkan suara berharga rm10,000 kat Faizal nih! Takpe pejal, ko cuba lagi tahun depan - ko muda lagi, banyak lagi peluang kat luar tu.

Embun ni macam ni lah, bagi support kat kawan-kawan yang sama-sama minat menyanyi. Kalau kat tempat embun pernah juga muncul juara peringkat bahagian (kalau kat sini peringkat daerah - antara semua daerah di negeri johor)dalam pertandingan lagu melayu asli.Nanti embun muatkan gambar trofi kemenangan embun sebagai kenang-kenangan embun dan arkib online embun. Dulu masa muda-muda sibuk itu ini, tidak berkesempatan nak santaikan diri dan bila dah kertu ni, minat makin semarak lah pulak malangnya usia menjadi penghalang - hai ... bukan rezeki embun ...

Selasa, 12 Ogos 2008

Lega rasanya bila sudah menemui layout yang baru yang menepati kehendak dan citarasa embun. Setakat ni, embun memang berpuas hati dengan layout yang baru ni. Apalagi, bukan main excited sangat bermain dengan warna dan gadget yang disediakan google ni. Banyak benda yang boleh embun muatkan ke dalam blog ni dengan layout yang baru ini. Penat dan tension juga embun melayari pelbagai laman yang menyediakan layout untuk blogger. Orang kata berkat usaha dan keikhlasan untuk menyajikan sesuatu yang menarik dan bermanfaat untuk semua, maka lahirlah wajah baru laman embun menitik.

Berjam-jam mengadap pc, hampir terlupa soal menu makan yang embun sudah rancang beberapa hari yang lalu. Sepatutnya embun dah buat pun rojak kegemaran embun iaitu rojak sotong untuk dimuatkan disini, namun akibat kesibukan mencari layout, tertangguh juga lah akhirnya agenda embun itu.

Namun begitu, pada Sabtu lepas (9hb Ogos) alhamdulilah, sempat embun sediakan rojak istimewa embun. Alah, embun saja yang katakan istimewa sebab embun ubahsuai resipi mengikut citarasa embun hari tu. Lebih kurang sama juga dengan resipi rojak sotong yang lain. Kebetulan ada kazen yang datang bercuti hujung minggu dari UIA Gombak. Apalagi meriahlah embun sekeluarga kazen yang menetap di jb ni menikmati rojak yang embun beri nama ROJAK EMBUN MENITIK

Embun memang berpuas hati sangat dengan hasil air tangan embun itu bilamana semua yang makan rojak embun menitik tu memuji kesedapannya! Apalagi embun sambil makan rojak, hidung pun kembang kempis . . .


ROJAK EMBUN MENITIK
(bahan-bahan mengikut nombor dalam gambar)
1. bijan - ditampi bersih & disangrai
2. sotong basah - dibersihkan,dicelur sekejap dan dipotong kecil
3. tauge dan daun bawang - dibuat cucur
4. tauhu basah (pok) - dicuci dan digoreng hingga perang warnanya
5. gula apong sarawak (gula nira rumbia)
6. kacang tanah - disangrai & ditumbuk kasar
7. cucur yang sudah siap (tauge dan daun bawang jer)
8. nenas, timun dan sengkuang
*9. *gambar yang ditengah tu sepatutnya no 9, tapi lupa laks naip
- kangkung, dipotong ikut suka, dibersihkan dan dicelur

bahan-bahan lain : cili giling, sos tomato, udang kering (dikisar halus),kiub ayam
maggi, petis dan gravy browning

Khamis, 7 Ogos 2008

Nak kata pakar masak, jauh sekali tapi suka makan - tu yang buat boleh masak untuk diri sendiri. Satu kelebihan anugerah Tuhan yang lebih menyempurnakan lagi urusan hidup ini walaupun jauh dari keluarga dan hidup di perantauan. Namun pernah juga diberi kepercayaan memasak untuk kenduri kecil ketika di kampung halaman atas permintaan kawan2. Tak sanggup pula nak menghampakan ... tapi seringkali dihampakan ...

Tapi bila bab masak ni, langsung tidak berasa selesa apabila kekurangan bahan. Itulah sebabnya kalau nak masak cerewet sikit - bahan2 kena cukup - sanggup ulang alik dari rumah ke kedai semata-mata nak dapatkan bahan. Tapi tidak selalu, bergantung juga pada keadaan, akhirnya guna kreativiti ubahsuai dengan bahan yang sedia ada.







Rabu, 6 Ogos 2008

Embun terpanggil untuk memaparkan perihal kek sarawak dan kek lapis sarawak. Umum sedia maklum bahawa negeri Sarawak sememangnya terkenal dengan produk kek lapis yang pelbagai corak, beraneka warna dan berlainan rasa.Akan tetapi masyarakat di luar negeri bumi kenyalang tidak ramai yang mengetahui sebelum kemunculan revolusi baru iaitu pembuatan kek lapis, negeri Sarawak terkenal dengan pembuatan kek biasa yang tidak berlapis.

Kalau ada pun yang berlapis, tidaklah menyamai kek lapis yang ada sekarang yang
bercorak lapis halus dengan motif corak yang pelbagai seperti corak bunga, ketupat, baju (sekadar menyebut beberapa jenis corak). Kalau di Sarawak biasa disebut kek plain sahaja atau penggunaan satu warna sahaja ataupun bercorak lapis paling tidak pun 2 - 3 lapis yang tebal sahaja.

Revolusi baru ini (kek lapis) dilihat sebagai satu hasil kreativiti masyarakat Sarawak yang mampu diketengahkan di peringkat kebangsaan malah lebih jauh lagi di peringkat antarabangsa. Ianya adalah sesuatu yang seharusnya menjadi kebanggaan anak Sarawak kerana tidak ramai yang berkemahiran dalam proses pembuatannya dan dengan hasil pengusahaan kek lapis ini, pengusaha mampu untuk mengubah tahap kehidupan kepada yang lebih baik lagi.
(gambar dari rozzan.blogspot.com)
Rabiah Amit, satu nama besar dalam industri pembuatan kek lapis Sarawak yang berjaya, malahan menarik perhatian masyarakat Malaysia khususnya surirumah tangga dan individu yang berminat perihal kek lapis dengan penerbitan buku berkenaan kek lapis Sarawak.

Tidak terkecuali beberapa nama lain di Sarawak seperti Puan Mariam dengan Mariam Cakes,Azan dengan Azan Bakery,Puan Dianne dengan Dayang Kek Lapis yang beroperasi di Rawang, Selangor,Siti Hajar Ahmat di Kajang,Puan Siti Maryam yang menjalankan perniagaan kek lapis yang meliputi sebahagian besar negeri Selangor sehingga ke negeri Perak, (sekadar menyebut beberapa nama).

Terbukti sudah, kalau tidak mendapat sambutan masakan anak Sarawak yang berada di luar lingkungan kawasan negeri bumi kenyalang ini juga berjaya meraih kejayaan mengusahakan perniagaan kek lapis ini yang dulunya hanya merupakan sajian utama di meja hidangan rumah orang melayu Sarawak pada hari raya aidilfitri. Syabas dan tahniah buat anak-anak Sarawak yang berjaya mengharumkan nama negeri Sarawak dengan hasil produk yang sudah semestinya tidak terdapat di tempat lain. Paling tidak pun, berjaya menangkis tanggapan sebilangan masyarakat luar yang ortodoks tentang kedaifan masyarakat Sarawak yang kononnya masih tinggal di atas pokok!

Lebih membanggakan, apabila ada di kalangan peminat kek lapis di luar negara yang berjaya mengusahakan kek lapis Sarawak dengan kemahiran dan kreativiti yang tinggi. Dan yang paling mengkagumkan ialah saudara Rozzan di Singapura yang memperlihatkan inovasi berkualiti bertaraf pakar dalam pembuatan kek lapis Sarawak. Syabas saudara Rozzan!
(gambar dari rozzan.blogspot.com)
Berbalik kepada kek biasa Sarawak yang merujuk kepada kek yang tidak berlapis merupakan kek asas kepada pembuatan kek lapis Sarawak yang ada sekarang. Sepertimana yang embun nyatakan tadi, produk kek sarawak ini mengalami revolusi dimana masyarakat Sarawak yang berkemahiran dan mempunyai minat yang tinggi memiliki inovasi yang (kalau tidak keterlaluan)pada embun tidak terjangkau oleh fikiran sebelum ini.
Daripada kek biasa yang tidak berlapis kepada kek berlapis yang tinggi mutunya (halus buatannya - merujuk kepada lapis) dan berlainan pula rasanya (merujuk kepada perisa atau flavour). Walau bagaimanapun, kek biasa Sarawak yang tidak berlapis masih tetap menjadi pilihan ramai di Sarawak kerana rasanya yang enak dan sedap.

Sekadar menyebut beberapa nama kek biasa (resipi lama) seperti Kek Pileh Kaseh, Kek Rampai Payong, Kek Sarang Lebah, Kek Sharifah Aini, Kek Lapisan Bumi, Kek Mata Hantu, Kek Sabok Tun Razak, Kek Dewan Parlimen dan banyak lagi yang mengundang 1001 macam rasa pegun terutamanya apabila kita melihat daripada segi bentuk dan warnanya sahaja, belum lagi menikmati keenakkannya kalau dimasukkan ke dalam mulut!

Apa yang istimewanya kek Sarawak ialah penggunaan mentega jenama Golden Churn (16oz) dalam tin yang sudah digunakan oleh masyarakat Sarawak sejak hamnpir 3 dekad yang lalu! Selain itu, 4 elemen utama dalam pembuatan kek Sarawak ialah penggunaan horlick, milo, srikaya dan susu manis yang menjadikan kek Sarawak lebih padat (dalam istilah lain - berisi, tidak terasa seperti kapas)dan lazat, di samping penggunaan bahan lain (pelbagai jenis jem, tepung roti,biskut,tepung aiskrim) dan perisa (peppermint,pandan,keladi)juga buah-buahan (prune,red dates,sultana,kismis).

Itu cuma sebahagian bahan-bahan yang digunakan, belum lagi termasuk cara penyediaan dan langkah memasaknya yang unik. Juga, penggunaan loyang yang sama sekali tidak sama dengan apa yang terdapat di semenanjung. Selain itu, banyak bahan yang digunakan dalam pembuatan kek sarawak tidak ditemui di semenanjung seperti gravy browning, pandan paste dan mentega golden churn 16oz. Apapun kita masih boleh menggunakan kreativiti dengan menggantikan bahan yang seakan sama dan boleh diguna pakai untuk menghasilkan kek yang pastinya tidak akan mengecewakan.

Kesimpulannya, kek sarawak atau kek lapis Sarawak tidak lagi dimonopoli oleh orang Sarawak sahaja lagi kerana ia turut mengalami revolusi yang membuka banyak ruang untuk kita lebih berfikiran jauh ke hadapan dan sudah pastinya tidak terhad kepada golongan wanita sahaja, justeru ramai kaum Adam di luar sana yang mempunyai inovasi yang berkualiti lebih berjaya daripada kaum Hawa dalam pembuatan kek Sarawak ini! Produk yang dihasilkan secara komersial ini seharusnya dipelihara dan dipulihara untuk mengekalkan kualiti dan menjadi sebahagian daripada wadah budaya masyarakat Sarawak khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Untuk itu, embun muatkan disini beberapa gambar kek biasa hasil air tangan embun sendiri sempena aidilfitri 2007 yang lalu.



,

Ni embun nak kongsi sedikit berkenaan menu kegemaran sebilangan besar masyarakat di Sarawak setiap kali tiba bulan Ramadhan iaitu Bubur Pedas. Biasanya kalau kita cakap pasal bubur ianya begitu sinonim dengan beras atau nasi.
Namun di Sarawak,kreativiti turun temurun ini tidak menghadkan penggunaan nasi semata untuk dijadikan bubur.Pada dasarnya bahan utama untuk menyediakan bubur pedas ini adalah beras yang ditumbuk menjadi serbuk dan diadun dengan rempah-rempah pilihan.

Yang menariknya walaupun ada dijual pada hari biasa di sesuatu tempat namun permintaan dan penggunaannya meningkat menjelang Ramadhan dan boleh dikatakan seolah menjadi menu wajib bagi sebilangan besar orang Melayu khususnya dan kaum lain amnya yang beragama Islam. Kawan embun yang non Muslim turut menggemari juadah ini setelah diperkenalkan oleh embun.

Bubur pedas adalah nama juadah yang sudah siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan dan dinikmati ketika berbuka mahupun bersahur. Untuk menyediakan bubur pedas ini perlu ada bumbu bubur pedas yang boleh didapati di gerai menjual hasil pribumi Sarawak, di kedai runcit orang melayu, ditempah daripada pengusaha bumbu bubur pedas atau boleh dibuat sendiri bagi yang menggemari hasil air tangan sendiri (boleh tentukan citarasa sendiri).

Minta maaf lah kepada mereka yang berada di semenanjung dan Sabah kerana tidak terdapatnya bumbu bubur pedas ini di pasaran anda kecuali ada orang Sarawak yang merantau atau yang bermastautin yang ada menjual bumbu bubur pedas ini di tempat anda. Atau, sekiranya anda kelapangan sudi-sudikanlah diri anda berkunjung ke negeri bumi kenyalang untuk merasa sendiri keunikan bubur pedas dan makanan tradisional lainnya yang pasti tidak akan mengecewakan anda.

Sebagai pengenalan kepada anda yang baru mendengar perihal bubur pedas, embun muatkan disini gambar dan resipi bubur pedas. Insyallah dilain kesempatan, embun akan usahakan pula resipi untuk menyediakan bumbunya pula.
(gambar dari ct juliez@myresipi.com / rahman bestari)
Bubur Pedas

Bahan-bahannya :-

1 paket bumbu bubur pedas (atau mengikut banyaknya bahan)
100 gm samada udang,ayam atau daging
* kacang panjang,jagung muda,paku midin(lemiding),tauhu kering(fucuk),
cendawan cina,pucuk manis,daun kelo dsbgnya
5 tangkai pucuk singkel(pucuk buas) - dihiris halus
5 tangkai daun kunyit - dihiris halus
5 biji cili kering(jika suka pedas)
2 biji bawang merah - ditumbuk halus
2 biji bawang putih - ditumbuk halus
2-3 sudu besar minyak masak untuk menumis
3 cawan pati santan
garam dan serbuk perasa

* mana-mana bahan ini boleh digunakan mengikut selera dan citarasa
masing-masing.
- sesuai dijadikan pencicah untuk dimakan bersama masak lemak nangka muda,
umbut,sayur keladi dll.
- juga sesuai dimakan begitu sahaja.
- bahan lain yang boleh digunakan ialah seperti sotong,rebung,umbut,nenas,
carrot,ubi kentang,bunga kantan dll bahan yang sesuai.

Cara Menyediakannya :-

1. Tumiskan bawang, apabila agak garing atau naik bau, masukkan samada udang,
ayam atau daging dan masak sehingga empuk.
2. Masukkan bumbu yang sudah dibancuh dengan air.
3. Biarkan mereneh dan masukkan pula kesemua bahan sayur dan bahan hiris.
4. Masukkan pati santan dan biarkan mereneh selama lebih kurang 10 minit
sambil dikacau perlahan-lahan.
5. Sesuaikan rasa dan angkat.

Selasa, 5 Ogos 2008

... pejam celik pejam celik, masa berlalu begitu pantas meninggalkan kita. Kurang sebulan kita akan menjalankan ibadah rukun Islam ketiga iaitu puasa.Banyak perkara yang boleh kita diskusikan berkenaan puasa. Antaranya ialah persiapan berbuka, bazar ramadhan, menu sahur, persiapan raya, sales dan 1001 macam perkara lazim yang berkaitan.

Embun merasakan tahun ini (2008) membuka lembaran baru di dalam kamus hidup orang kita melaksanakan ibadah puasa dan persiapan menjelang syawal nanti. Manakan tidak negara tercinta kita Malaysia hari ini diwarnai pelbagai kejutan yang maha tidak disangka oleh sebilangan daripada kita. Perubahan dan warna-warni politik tanahair, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan 1001 macam (embun selalu gunakan) cetusan fenomena angkara alam mahupun angkara manusia.

Bagi mereka yang kaya raya, banyak kilang itu dan ini, banyak holding itu dan ini, semua itu tidak menjadi kudis yang menyakitkan. Namun bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah - banyak perkara perlu dianalisa dan dirumuskan sebelum mengambil keputusan untuk bertindak.

Pada pendapat embun elok sekiranya kita berfikiran secara waras dan logik - kalau sebelum ini kita ini jenis yang suka berbelanja lebih persiapan puasa dan syawal elok kita turunkan tahap kesombongan, "kebelagakkan" atau egoisme kita. Cukup sekadar persiapan dan persediaan yang sederhana dan ala kadar sahaja, sesuai dengan kemampuan diri kita sendiri.

Berbicara puasa embun terimbas kenangan manis suatu ketika dahulu ketika menyapa seorang budak anak saudara kepada seorang kawan lama. Pada masa itu embun dijemput untuk kenduri berbuka puasa. Embun mendatangi budak itu dan bertanyakkan ayah dan emaknya. Jawabnya dengan keletah, "Mak ngan ayah pergi bazar ramadhan." Embun bertanya lagi kenapa dia tak ikut sama. Jawapannya kali ini membuatkan embun terkesima - "Buat apa, nak beli banyak-banyak pun bukan boleh bawa dalam kubur!"

Embun tidak pasti jawapan itu datang daripada budak itu atau hanya lamunan embun. Apa yang pasti embun amat tersentuh dengan jawapan itu - bukan tersentuh kerana berkecil hati tapi tersentuh yang amat meninggalkan kesan yang tidak mampu untuk embun nyatakan dengan kata-kata. Banyak ikhtibar yang boleh embun pelajari daripada jawapan budak itu. Justeru, kemana perginya pertimbangan wajar kita sebagai seorang dewasa dalam memberi nilai tersendiri untuk hidup yang kita lalui ini?

Rasanya sudah terlalu jauh embun berdiskusi sendiri, memadailah setakat ini. Sekadar luahan rasa untuk peringatan bersama. Embun pun bukannya ahli membicarakan perihal agama di sini. Embun sekadar mengingatkan diri embun sahaja dan kalau apa yang embun notakan di sini menjadi sesuatu yang perlu difikirkan dengan wajar - embun bersyukur alhamdulilah - segala puji-pujian hanya pada Allah.

Sabtu, 2 Ogos 2008


Syabas dan tahniah buat MOHD FAIZAL RAHIM yang berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan yang mewakili zon selatan ke pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008. Embun mengenali Faizal ketika sama-sama menyertai ujibakat Pertandingan Bintang Irama Malaysia dan Idola P Ramlee & Saloma di JB, 2007. Kemudian masing-masing terpilih untuk ke peringkat negeri Johor dan berjaya menjadi johan dalam kategori masing-masing. Embun dan Faizal kemudiannya mewakili negeri Johor ke pertandingan yang sama di Shah Alam dan Kulala Lumpur (Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan) tetapi pada tarikh yang berlainan.

Mohd Faizal Rahim, wakil negeri Johor ke pertandingan Idola P Ramlee & Saloma 2007 (Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan), berjaya melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan di Istana Budaya. Dalam pertandingan tersebut Faizal dinobatkan sebagai Johan Idola P Ramlee 2007. Ikuti laporan berikut :

Pertandingan Akhir Idola P Ramlee & Saloma 2007


Pertandingan akhir Idola P. Ramlee dan Saloma yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya baru-baru ini telah mendapat sambutan duluar dugaan.

Ini kerana Panggung yang boleh memuatkan 1,400 orang telah melebihi daripada jumlah kapasiti penonton hingga ada antara mereka terpaksa berdiri dan duduk dikaki-kaki tangga.

Ini mengejutkan pihak penganjur Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan menerusi Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara bahawa sambutan terhadap program yang julung kali diadakan itu menerima ramai peminatnya.

Pihak penganjur sebelum itu telah mengedarkan pas-pas percuma sebelum berlangsungnya pertandingan tersebut. tetapi habis dalam masa tiga hari sahaja.

Menteri berkenaan. Datuk Seri Dr. Rais Yatim gembira melihat perkembangan tersebut berkata, "Ini menunjukkan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma masih mendapat tempat dihati orang ramai".

Beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang. Pihak penganjur telah memberikan nafas baru dalam lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma tanpa menghilangkan keaslian lagu tersebut.

Ini telah menarik 1,002 orang peserta terutama anak-anak muda generasi baru memohon untuk menyertai pertandingan tersebut mermula peringkat negeri hingga ke peringkat akhir.

Pertandingan peringkat akhir terbagi tiga kategori iaitu solo P. Ramlee (5 peserta), Saloma (5 perserta) dan berpadu suara (10 peserta).

Peserta solo P. Ramlee Johan, Mohd Faizal Abdul Rahim dari Johor dengan hadiah wang tunai RM10,000, Piala iringan Menteri KEKKWA, sijil, kedua Ahmad Fuad Zaharullail dari Wilayah Persekutuan menrima RM8,000 dan ketiga Nor Azieman Aziz dari Kuantan, Pahang memperoleh RM6,000 dan hadiah sagu hari RM1,000.

Kategori solo Saloma dimenangi Irsa Sahabuddin dari Wilayah Persekutuan, kedua Nur Idayu Mohd Sopiee dari Kulai, Johor Bharu. Hadiah sama seperti diatas.

Kategori berpadu suara Johan, Mohd Afiq Ahmed dan dan Azeani Awang Ismail dari Kota Kinabalu, Sabah yang membawa pulang wang tunai RM10,000, Piala iringan Menteri KEKKWA dan sijil, kedua Zainal Roslan dan Norazwin Sharifuddin dari Klang, Selangor dan ketiga Mohammad Fadzli Abdul Wahab dan Rosmawati Mat Dali dari Melaka .

Pertandingan tersebut diserikan dengan penampilan antaranya Nasir P. Ramlee, Mimi Loma, Haziq dan Aidi Nuzirin.

Sumber : Utusan Melayu, Isnin 20 Ogos 2007

Selepas meraih kemenangan dalam pertandingan itu, tahun ini Faizal kembali beradu nasib dalam pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008 pula. Semoga Faizal akan mengulangi lagi kejayaannya dalam pertandingan tersebut. Embun mengenali Faizal sebagai seorang yang sederhana, merendah diri, berbudi bahasa dan berbakat selain memiliki kekuatan vokal yang tidak kurang hebat dengan barisan penyanyi lelaki tanahair yang ada sekarang ini!

Embun pun minat juga menyanyi ni malah pernah juga menyertai beberapa pertandingan nyanyian di kampung embun. Terkilan juga embun kerana tidak berpeluang lagi menyertai pertandingan Bintang Klasik Nasional ni kerana sudah melepasi syarat usia. Ada juga teman-teman tanya, " tak masuk bintang klasik ke ?" , jawab embun bukan tak nak masuk tapi KEKKWA tak terima orang tua-tua. Pertandingan tersebut hanya untuk orang-orang muda dan mencungkil bakat-bakat muda ini kemahiran dan kebolehan mereka menyanyikan lagu-lagu lama yang klasik. Ini adalah sebagai usaha memartabatkan lagu-lagu lama supaya akan terus kekal diingati oleh generasi sekarang dan akan datang dan secara tidak langsung memasyurkan semula penyanyi asal sebagai tanda mengenang jasa dan sumbangan mutu suara yang tiada tolok bandingnya.

Syabas dan tahniah juga kepada Mohd Azwan Shahdi Mohd Jalaludin ( Johan Bintang Irama Malaysia 2007 - Kategori Lelaki) dan Sabihah Abdul Wahid ( Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2007 - Kategori Wanita ) kerana masing-masing berjaya melayakkan diri ke peringkat Kebangsaan Bintang Klasik Nasional 2008.

Syabas dan tahniah juga kepada KEKKWA kerana tahun ini merupakan tahun kedua pertandingan tersebut diadakan yang sememangnya akan disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia yang menggemari lagu-lagu lama ini.


waktu lah malam
waktu malam embun menitik
hai pungguk terbang sayang
pungguk terbang di atas kota

air mata ku
air mata ku berlinang menitik
mengenangkan tuan sayang
mengenang tuan jauh di mata

embun menitik
embun menitik di atas batu
hai murai berkicau sayang
murai berkicau di tengah laman

biarpun jauh
biarpun beribu lah batu
hilang di mata sayang
hilang di mata di hati lah jangan

Pengisian Blog


Hari ini, Jumaat, embun menitik masih tercari-cari apakah bahan yang sesuai untuk dimuatkan di dalam blog ini. Kalau mengikut tajuk laman embun (CITARASA EMBUN MENITIK), pelbagai material boleh dimuatkan mengikut citarasa embun menitik. Embun rasa skop nya juga luas iaitu berkaitan apa sahaja yang menepati citarasa. Sebelum ini, embun ada muatkan 2 tajuk berbeda sebagai paparan awal embun mengisi kekosongan ruang.

Apapun embun bersyukur sangat kerana mampu mewujudkan blog ini sebagai salah satu daripada agenda hidup embun. Betapa sukar untuk memuaskan hati orang lain, apatah lagi untuk diri sendiri. Setiap pencapaian itu membawa maksud tertentu di dalam hidup kita, membawa 1001 macam pengertian yang sukar untuk ditafsirkan sekilas pandang.

Namun sebagai "insan biasa" kita tidak mampu untuk mengatakan puas dalam apa juga perkara yang sedang dan telah kita lakukan. Kalau boleh kita mahukan yang lebih baik daripada orang lain. Justeru, sesuaikan lah diri kita dengan persekitaran dan tidak perlu terlalu mencari kesempurnaan kerana hidup memerlukan perjuangan dan meminta pengorbanan daripada kita untuk menghadapi 1001 macam kepincangan dan kemelut hidup.