Selasa, 5 Ogos 2008
... pejam celik pejam celik, masa berlalu begitu pantas meninggalkan kita. Kurang sebulan kita akan menjalankan ibadah rukun Islam ketiga iaitu puasa.Banyak perkara yang boleh kita diskusikan berkenaan puasa. Antaranya ialah persiapan berbuka, bazar ramadhan, menu sahur, persiapan raya, sales dan 1001 macam perkara lazim yang berkaitan.
Embun merasakan tahun ini (2008) membuka lembaran baru di dalam kamus hidup orang kita melaksanakan ibadah puasa dan persiapan menjelang syawal nanti. Manakan tidak negara tercinta kita Malaysia hari ini diwarnai pelbagai kejutan yang maha tidak disangka oleh sebilangan daripada kita. Perubahan dan warna-warni politik tanahair, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan 1001 macam (embun selalu gunakan) cetusan fenomena angkara alam mahupun angkara manusia.
Bagi mereka yang kaya raya, banyak kilang itu dan ini, banyak holding itu dan ini, semua itu tidak menjadi kudis yang menyakitkan. Namun bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah - banyak perkara perlu dianalisa dan dirumuskan sebelum mengambil keputusan untuk bertindak.
Pada pendapat embun elok sekiranya kita berfikiran secara waras dan logik - kalau sebelum ini kita ini jenis yang suka berbelanja lebih persiapan puasa dan syawal elok kita turunkan tahap kesombongan, "kebelagakkan" atau egoisme kita. Cukup sekadar persiapan dan persediaan yang sederhana dan ala kadar sahaja, sesuai dengan kemampuan diri kita sendiri.
Berbicara puasa embun terimbas kenangan manis suatu ketika dahulu ketika menyapa seorang budak anak saudara kepada seorang kawan lama. Pada masa itu embun dijemput untuk kenduri berbuka puasa. Embun mendatangi budak itu dan bertanyakkan ayah dan emaknya. Jawabnya dengan keletah, "Mak ngan ayah pergi bazar ramadhan." Embun bertanya lagi kenapa dia tak ikut sama. Jawapannya kali ini membuatkan embun terkesima - "Buat apa, nak beli banyak-banyak pun bukan boleh bawa dalam kubur!"
Embun tidak pasti jawapan itu datang daripada budak itu atau hanya lamunan embun. Apa yang pasti embun amat tersentuh dengan jawapan itu - bukan tersentuh kerana berkecil hati tapi tersentuh yang amat meninggalkan kesan yang tidak mampu untuk embun nyatakan dengan kata-kata. Banyak ikhtibar yang boleh embun pelajari daripada jawapan budak itu. Justeru, kemana perginya pertimbangan wajar kita sebagai seorang dewasa dalam memberi nilai tersendiri untuk hidup yang kita lalui ini?
Rasanya sudah terlalu jauh embun berdiskusi sendiri, memadailah setakat ini. Sekadar luahan rasa untuk peringatan bersama. Embun pun bukannya ahli membicarakan perihal agama di sini. Embun sekadar mengingatkan diri embun sahaja dan kalau apa yang embun notakan di sini menjadi sesuatu yang perlu difikirkan dengan wajar - embun bersyukur alhamdulilah - segala puji-pujian hanya pada Allah.
Label: embun menitik