Autograf

Khamis, 18 September 2008

Nuzul Quran

Al-Quran Mengubat Jiwa

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DIAM tidak diam, sudah lebih dua minggu umat Islam berpuasa. Malah pada hari ini, umat Islam sedang dalam suasana memperingati hari turunnya al-Quran atau dipanggil Nuzul Quran.

RAMADAN merupakan bulan yang digalakkan umat Islam memperbanyakkan membaca al-Quran.

Kelaziman di Malaysia, hari ini diraikan dengan pengisytiharannya sebagai cuti umum di beberapa negeri serta penganjuran program-program ceramah di sana sini.

Hakikatnya, adakah cara ini sudah memadai sebagai peringatan bagi kaum Muslimin agar memperingati salah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam serta kewajipan umat Islam kini kembali untuk mempelajari, memahami dan mengkaji isi kandungan al-Quran?

Ini kerana, al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah kitab tetapi untuk menjadi pedoman hidup atau petunjuk (hidayah) bagi umat manusia, memberi rahmat, syifa', ketenangan, peringatan, penjelasan, sekali gus sebagai mukjizat atas kenabian Muhammad SAW.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang batil)..." (al-Baqarah: 185)



Oleh itu, seharusnya peringatan Nuzul al-Quran menjadi momentum bagi umat Islam untuk menilai kembali sejauh mana mereka memahami dan menghayati kandungan al-Quran. Apatah lagi dalam kita melayari Ramadan mulia ini.

Allah berfirman yang bermaksud: Kitab suci ini diturunkan untuk memberi keputusan (jalan keluar) terbaik bagi masalah-masalah kehidupan manusia (al-Baqarah: 213).

Peristiwa penurunan pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW ketika berkhalwat di Gua Hira' pada malam Jumaat bertepatan 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran Baginda sentiasa dijadikan pemangkin semangat kepada pemuda mualaf kelahiran Perkampungan Muramvya, Burundi, Afrika, Hilali Sibomana, 30, dalam usaha beliau menguasai dan menyelidik ilmu al-Quran.

Beliau berkata, surah al-Alaq yang bermula dengan suruhan yang bermaksud: "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan"... adalah bukti paling jelas dan sahih tentang kepentingan pencarian ilmu itu. Sayangnya, umat Islam memandang remeh akan penekanan ke atas ayat ini.

"Saya mengenali al-Quran sejak usia kanak-kanak lagi. Ini kerana dilahir dan dibesarkan dalam kelompok mubaligh Kristian, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menguasai bukan sahaja kitab Injil tetapi juga al-Quran.

"Pada peringkat awal, memang pembelajaran saya semata-mata demi mencari kelemahan al-Quran untuk mudah berhujah bila berhadapan dengan umat Islam.

"Tetapi semakin saya mendalami kitab suci ini, semakin saya meyakini dan akhirnya, mengakui kebenaran agama Islam," cerita pemuda ini yang reda bergelar pelarian politik di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) demi mempertahankan akidah Islamnya.

Anak tunggal ini turut kehilangan ibu bapa tercinta hanya kerana pengislaman diri kira-kira lima tahun lalu. Pun begitu, beliau tidak pernah menyalahkan takdir Ilahi ini kerana lebih takutkan pembalasan Allah SWT kelak berbanding ancaman atau ugutan manusia.



Mengakui dirinya agak bertuah kerana tidak menghadapi masalah dalam mempelajari al-Quran hasil didikan awal yang diterima dahulu. Pun begitu, Hilali tidak sekali-kali menganggap pencapaiannya itu sudah dikira baik.

Lantaran itu, dari semasa ke semasa beliau belajar memperbaiki mutu bacaan, tajwid dan kefahaman menerusi cakera padat dan kaset. Malah beliau menjadikan kebiasaan membaca al-Quran kemudian diselikan dengan melihat kepada terjemahan daripada kitab tafsir.

Dalam sesi fotografi yang dilakukan di sebuah masjid di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut disertai dua rakan mualaf kelahiran Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah iaitu Joannes Lukas, 29, dan Muhd. Assamarqandi Lee Abdullah, 28.

Sebagaimana hidayah yang Allah SWT suntikkan dalam jiwa Hilali, begitu jugalah sama yang dialami Joannes dan Assamarqandi iaitu membuat perbandingan di antara al-Quran dengan kitab Injil serta penjelasan tentang konsep ketuhanan di dalam agama Islam.

Kata Muhd. Assamarqandi lagi, pembelajaran al-Quran diikutinya secara sepenuh masa di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Kelantan dari 2005 hingga 2007.

Alhamdulillah, katanya, tiada halangan ketika belajar. Cuma selepas berkahwin dan mendapat cahaya mata, beliau terpaksa memilih sama ada untuk meneruskan pelajaran atau bekerja? Jadi, pada masa itu, beliau memilih untuk berkerja demi mencari nafkah keluarga.

"Malah saya benar-benar bersyukur kerana dengan sentiasa mendekatkan diri kepada al-Quran serta istiqamah dalam pengamalannya, ia telah berjaya menyingkirkan segala kekotoran jiwa yang melekat dalam lubuk hati ini.

"Percaya atau tidak, saya pernah bergelar penagih dadah, perokok dan kaki botol. Alhamdulillah, kesemua tabiat buruk ini berjaya ditinggalkan berkat keyakinan dan bantuan daripada Allah SWT. Malah al-Quran itu menjadi pelindung diri ketika berjalan atau bekerja dan ketenangan jiwa," katanya yang amat bersyukur kerana antara insan terpilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya.

Nasihat beliau kepada generasi muda sekarang yang bakal memerintah bumi ini, bahawa kehidupan di dunia itu tidak kekal, suatu hari nanti semua akan merasai maut. Oleh itu, tanpa ilmu kita akan sesat.



"Belajarlah ilmu al-Quran, anda pasti akan dapat sesuatu yang tidak pernah anda sangkakan. Ini pengalaman saya, pintu rezeki bertambah malah saya telah memenangi beberapa pertandingan tilawah al-Quran. Hakikatnya, dengan ilmu Quran sebagai panduan hidup, pasti akan berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah," katanya yang memeluk Islam pada 15 Jun 2004.

Inisiatif

Sementara itu, Joannes selepas memeluk agama Islam, terus belajar tajwid dan iqra' iaitu dua kali seminggu dengan Imam I di Universiti Putra Malaysia (UPM). Pembelajarannya tidak setakat itu, beliau juga mengambil inisiatif mengulangkaji selepas tamat kelas dan selepas solat.

"Alhamdulillah dalam tempoh tiga bulan, saya sudah menguasai surah-surah lazim dari surah ad-Dhuha ke surah an-Naas. Dari situlah saya boleh membaca al-Quran dengan baik. Kemudian, saya sambung hingga tamat iqra' enam. Kesemua ini lengkap dipelajari dalam tempoh enam bulan sebelum mendapat tunjuk ajar daripada Hj Ma'som. Memperoleh bimbingan daripada beliau secara tidak langsung menjadikan bacaan al-Quran saya bertambah berkualiti," jelasnya.

Menyentuh pembacaan al-Quran, Joannes berkata, beliau tidak pernah bosan kerana memang minat dan menganggap kitab suci itu sebagai teman hidup.

"Sebab itulah, apabila berjaya menguasainya, keseronokan yang dirasai tidak terhingga seolah-olah seperti mendapat ijazah pengajian Quran malah timbul satu azam untuk menghafal al-Quran dalam tempoh setahun," akui Joannes yang bercita-cita untuk memahami, menghayati, mempraktik dan menguasai ilmu perbandingan agama dengan baik. Harapannya lagi, ia secara langsung akan meningkatkan rasa cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Berkongsi kesan ke atas beliau, jelas lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari UPM ini, al-Quran banyak membentuk keperibadiannya. Malah perasaan panas baran, tidak tenang dan tertekan berjaya dikawal.

"Apabila kita membiasakan diri dengan menghafal ayat-ayat al-Quran. Ia menjadi penenang hati. Selain itu, rasa cinta kepada Allah semakin menebal dan mendalam.

"Oleh itu, kita kenalah banyak berdoa minta dipermudahkan dalam pemahaman ajaran Allah dan agar dilembutkan hati.

"Yang penting sekali, selepas membacanya, kita kena lihat tafsir atau terjemahan dan jika boleh hafal, itu adalah lebih baik. Kemudian, kita imbas kembali, adakah cara hidup kita ini mengikut al-Quran dan sunah atau tidak?," saran Joannes terhadap kepentingan setiap umat Islam tidak kira mualaf atau dilahirkan Muslim untuk menguasai al-Quran.



sumber :http://www.utusan.com.my

0 Comments:

Post a Comment